ANGGOTA keluarga Ne Win meratap kematiannya di majlis pengebumian di Yangon.  - AFP
ANGGOTA keluarga Ne Win meratap kematiannya di majlis pengebumian di Yangon. - AFP

Yangon: Seorang pemandu teksi Myanmar dipuji sebagai wira pada majlis pengebumiannya semalam, dua hari selepas dia mati ketika cuba menghalang penembak yang membunuh seorang peguam Muslim terkenal negara itu.

Bapa tiga anak, Ne Win ditembak mati di luar lapangan terbang Yangon ketika mengejar lelaki yang hanya beberapa minit sebelum itu membunuh Ko Ni, penasihat kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Kejadian waktu siang di negara yang jarang melihat pembunuhan politik mengejutkan masyarakat Islam dan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Suu Kyi.

Majlis pengebumian Ne Win semalam diselubungi kesedihan dengan ratusan orang termasuk sami serta anggota NLD datang memberi penghormatan.

Anggota kanan NLD, Tin Oo berkata: “Ne Win berusaha mengejar lelaki jahat tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Bagi pihak NLD, pendukung demokrasi lain dan semua yang mahukan keamanan, saya memuji keberanian Ne Win.”

Pembunuh terbabit, Kyi Lin, 53, ditangkap di tempat kejadian. Motif perbuatannya masih belum diketahui.

Ko Ni peguam Muslim yang lantang bersuara terhadap sentimen anti-Islam pelampau Buddha dan keengganan tentera melepaskan kuasa di Myanmar.

Dia juga penasihat undang-undang Suu Kyi dan baru pulang daripada lawatan ke Indonesia.

NLD dan keluarganya mengesyaki dia disasarkan atas sebab politik dan parti pemerintah berkenaan menyifatkan pembunuhan itu sebagai ‘perbuatan pengganas.’

Menurut saksi, Ne Win dan beberapa pemandu teksi lain mengejar penembak berkenaan selepas melihat Ko Ni ditembak.

Rakannya, Soe Myint berkata: “Ne Win membaling bata ke arah penembak itu sambil mengejarnya. Lelaki itu berpaling dan menembaknya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 6:37 AM