SUU Kyi (baju hijau) tiba untuk mesyuarat dengan ahli Parlimen NLD, semalam.
SUU Kyi (baju hijau) tiba untuk mesyuarat dengan ahli Parlimen NLD, semalam.
Agensi

Naypyitaw (Myanmar): Impian pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) Aung San Suu Kyi meraih kedudukan sebagai presiden terkubur apabila pemimpin itu secara rasmi mengesahkan tidak akan menjadi presiden Myanmar seterusnya.

Bagaimanapun, dia bersumpah akan menjadi pemimpin de facto dengan memerintah ‘di sebalik tabir,’ manakala ahli partinya bersetuju cara itu digunakan kerajaan pertama Myanmar dipilih secara demokratik sejak lebih setengah abad akan melaksanakan tugasnya

Parti itu mencalonkan dua penyokong setia Suu Kyi untuk jawatan berkenaan termasuk Htin Kyaw, lulusan Oxford berusia 70 tahun.

Penamaan calon akan disusuli undian dalam kalangan ahli Parlimen pada akhir bulan ini sebelum presiden baru diisytiharkan pada 1 April.

“Saya sangat gembira dan percaya dia (Htin Kyaw) akan bekerjasama dengan Suu Kyi demi rakyat,” kata penggubal undang-undang dan ahli Parlimen NLD, Khin Su Su Kyi.

Sejak beberapa minggu yang lalu, Suu Kyi dipercayai mengadakan perbincangan tertutup dengan jeneral tentera yang berkuasa untuk menggantung klausa perlembagaan yang menghalangnya memegang jawatan presiden.

Hasil rundingan tidak diketahui hingga semalam dan apabila nama-nama pengikut setia diumumkan, ia petanda berakhirnya cita-cita Suu Kyi sejak sekian lama untuk menjadi presiden.

Suu Kyi tidak menghadiri sesi penamaan calon berprofil tinggi kelmarin namun menyiarkan mesej di laman Facebook kepada penyokongnya.

“Ini langkah pertama ke arah merealisasikan harapan dan kehendak rakyat yang menyokong NLD dalam pilihan raya.

“Kami cuma mahu memenuhi keinginan rakyat dan akan cuba sedaya upaya untuk berbuat demikian,” kata Suu Kyi dalam mesej di Facebooknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 7:12 AM