Abdul Halim Yaakob, 56, mendayung perahu selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Telar, Hulu Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
Abdul Halim Yaakob, 56, mendayung perahu selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Telar, Hulu Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
Isma Ismail


Kuala Terengganu: Dungun menjadi daerah kelima yang dibuka pusat pemindahan mangsa banjir di Terengganu pada tengah hari ini dengan menempatkan 44 orang daripada 12 keluarga di lima pusat pemindahan.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya jumlah mangsa yang ditempatkan di 65 pusat pemindahan di seluruh negeri menurun kepada 3,130 orang daripada 923 keluarga pada 12 tengah hari ini berbanding seramai 3,998 orang daripada 1,166 keluarga berada di 81 pusat pemindahan pada 8 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri, daerah Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi ditempatkan di pusat pemindahan dengan 1,220 orang daripada 438 keluarga di 15 pusat pemindahan.

Jumlah mangsa di Besut juga menurun kepada 983 mangsa daripada 235 keluarga di 18 pusat pemindahan berbanding seramai 1,398 orang daripada 343 keluarga di 30 pusat pemindahan sebelum ini.

Di Setiu turut berlaku pengurangan mangsa banjir kepada 774 orang di 22 pusat pemindahan berbanding 1,070 orang di 26 pusat pemindahan.

Begitu juga dengan jumlah mangsa di Kemaman dengan 109 orang berada di lima pusat pemindahan berbanding 144 orang di enam pusat pemindahan pada pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 1:00 PM