KEADAAN banjir di Jalan Utama Kuala Berang selepas hujan lebat sejak malam tadi. FOTO Ghazali KoriKORI
KEADAAN banjir di Jalan Utama Kuala Berang selepas hujan lebat sejak malam tadi. FOTO Ghazali KoriKORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila mencatatkan 12,001 mangsa banjir pada 1 tengah hari berbanding 11,860 orang pada 9 pagi tadi.

Bagaimanapun, jumlah pusat pemindahan berkurangan kepada 138 buah berbanding 140 buah.

Menurut etindakan.terengganu.gov.my, jumlah mangsa di daerah Besut terus meningkat kepada 5,032 orang daripada 1,376 keluarga di 54 pusat pemindahan.

Di Setiu, berlaku peningkatan jumlah mangsa apabila 2,850 mangsa daripada 897 keluarga ditempatkan di 30 pusat pemindahan berbanding 2,706 mangsa daripada 863 keluarga di 27 pusat pemindahan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir menurun di Hulu Terengganu dengan 2,993 mangsa daripada 955 keluarga di 29 pusat pemindahan 1 tengah hari tadi berbanding 3,660 daripada 1,122 keluarga dipindahkan ke 35 pusat pemindahan pada 9 pagi.

Sementara itu, jumlah mangsa di Dungun dan Marang masing-masing kekal seramai 259 mangsa (67 keluarga) di enam pusat pemindahan dan 30 mangsa (10 keluarga) di satu pusat pemindahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 2:23 PM