Nabil Basaruddin


LANGKAH DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) memilih Zhejiang Geely Holding Group (Geely) sebagai rakan strategik kepada Proton Holdings Bhd (Proton) pada Jun 2017 membuahkan hasil apabila jenama kereta nasional itu mencipta kecemerlangan terpentingnya pada 2019.

Kerjasama dengan gergasi automotif dunia itu turut mengangkat Proton sebagai jenama automotif moden dan bertaraf global dengan pengenalan kenderaan utiliti sukan (SUV) sulungnya, X70 serta beberapa penampilan dipertingkatkan beberapa model.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, 2019 berakhir dengan jumlah jualan keseluruhan 100,821 unit di mana buat pertama kali jualan syarikat mencecah lebih 100,000 unit sejak 2015.

Beliau berkata, Disember mencatatkan jualan tertinggi 11,117 unit bagi keseluruhan tahun lalu, meningkat 112 peratus berbanding bulan sama pada 2018.

Menurutnya, jumlah itu bersamaan 20.5 peratus bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) pada Disember dan ini kali pertama Proton menjual lebih daripada 11,000 kereta dalam tempoh sebulan sejak Julai 2014.

“Proton X70 dan Proton Saga pendorong utama di atas pertumbuhan jualan Proton yang cemerlang pada 2019.

“Kami berbangga dengan kedudukan X70 sebagai model paling popular dan berterima kasih kepada semua pelanggan setia meskipun model berkenaan segmen pasaran baharu syarikat.

“Saga pula mendapat lebih 41,000 tempahan dan jumlahnya dijangka terus meningkat pada masa hadapan serta kekal produk utama dan paling popular dalam kalangan pelanggan.

“Kami yakin mengekalkan kejayaan ini pada 2020 di mana syarikat kini ada tiga model yang berada di barisan teratas dalam segmen masing-masing,” katanya.

Pencapaian cemerlang ini bersamaan dengan peningkatan 55.7 peratus berbanding 2018, meletakkan Proton sebagai lima teratas bagi pertumbuhan jualan tertinggi pada 2019 di kalangan jenama automotif di Malaysia.

Li berkata, Proton berusaha keras melancarkan empat model dinaik taraf pada 2019 membuktikan syarikat itu berada di landasan tepat di mana ia diterima baik pembeli kereta.

Katanya, syarikat turut memberi fokus kepada peningkatan kualiti produk dan skor kualiti audit dalaman Proton sebanyak 1,190 mata, meningkat enam kali ganda berbanding 2017.

“Ini skor terbaik berbanding skor Geely yang terkini, membuktikan kejayaan usaha diberikan Proton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:06 AM