CEO baru Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali
CEO baru Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali
BERNAMA

Kuala Lumpur: DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) melantik Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)/Pengarah Eksekutif PROTON Holdings Bhd yang baharu berkuatkuasa 1 April tahun ini.

DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini berkata Ahmad Fuaad adalah Ketua Pegawai Operasi-Kewangan dan Korporat DRB HICOM, sudah berada dalam lembaga PROTON sebagai Pengarah Bukan Eksekutif sejak 2013.

DRB-HICOM, yang memiliki kepentingan besar dalam PROTON, berkata ia juga melantik Datuk Md Radzaif Mohamed, Ketua Pegawai Operasi Pengedaran Automotif dan Pembuatan kumpulan itu sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON/Pengarah Eksekutif berkuatkuasa 1 April depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Datuk Abdul Harith Abdullah akan meneraju DRB-HICOM sebagai Ketua Pegawai Operasi untuk Pengedaran Automotif dan Pertahanan berkuat kuasa 1 April.

Kumpulan itu juga memindahkan Shamsuddin Mohd Yusof, Ketua Pegawai Operasi HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd (HAMM) menjadi Ketua Pegawai Operasi Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd berkuatkuasa 14 Mac.

Pengurus Besar, Operasi di HAMM, Ismail bin Pandak, dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Operasi HAMM berkuat kuasa 14 Mac.

Pengarah

Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata: “Pergerakan sumber bakat dalaman ini adalah konsisten dengan dasar kumpulan untuk sentiasa membangunkan keupayaan bagi membolehkan kumpulan syarikat DRB-HICOM mengekalkan perspektif yang segar untuk mengemudi kumpulan di bawah persekitaran perniagaan semasa yang mencabar dan kompetitif."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 8:45 PM