Bilik yang dijadikan stor menyimpan DVD cetak rompak. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Bilik yang dijadikan stor menyimpan DVD cetak rompak. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menyerbu sebuah rumah di Taman Kajang Baru, di sini, petang tadi, selepas ia dijadikan stor menyimpan cakera padat digital (DVD) cetak rompak bernilai RM133,000.

Dalam serbuan jam 2 petang itu, anggota penguat kuasa KPDNKK menemui DVD cetak rompak disembunyikan di sebuah bilik rumah teres dua tingkat berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, serbuan dijalankan selepas risikan mendapati kediaman itu dijadikan sebagai stor menyimpan dan menghasilkan DVD cetak rompak sejak dua bulan lalu.

"Serbuan dilakukan tujuh pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNKK menemui lebih 15,000 DVD cetak rompak pelbagai filem antarabangsa termasuk filem lucah.

"Kami turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 60 tahun untuk tindakan lanjut," katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta (AHC) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 6:31 PM