T Subromaniam (kanan) melakukan pemeriksaan GST di dua restoran di Taman Adda Height dan Jalan Pasir Pelangi, selepas majlis pelancaran. FOTO Mohd Azren Jamaludin
T Subromaniam (kanan) melakukan pemeriksaan GST di dua restoran di Taman Adda Height dan Jalan Pasir Pelangi, selepas majlis pelancaran. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan tambahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM3 bilion selepas pendekatan baru yang lebih bersifat mesra pelanggan dilancarkan, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk T Subromaniam berkata, sasaran itu berdasarkan kutipan tambahan RM1 bilion yang berjaya dikutip dalam tempoh empat bulan selepas Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) yang menggunakan pematuhan melalui pendekatan berteraskan pendidikan dilaksanakan.

Beliau berkata, jika sebelum ini pendekatan penguatkuasaan dilihat kurang berkesan, pihaknya akan mengubah strategi yang lebih bersifat mesra pelanggan dan berteraskan pendidikan dalam usaha memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang masih keliru dan kurang faham tentang GST.

"Kita melihat masih ada peniaga yang tidak faham mengenai GST. Ada juga yang tidak membayar GST dengan betul, malah ada yang mengikrarkan GST lebih rendah daripada kadar ditetapkan, selain yang mengutip tetapi tidak membayar kepada JKDM.

"Jadi, kita cuba untuk ubah strategi yang mana objektifnya supaya peniaga yang masih keliru atau tidak faham tentang GST dapat membetulkan kesilapan sekali gus ia akan bantu menambah pendapatan kerajaan," katanya ketika sidang media sempena pelancaran Operasi CBOS di Menara Kastam Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Pematuhan Ibu Pejabat JKDM, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir; Timbalan Pengarah JKDM Negeri Johor Bahagian GST, Wan Nor Wan Mamat dan Timbalan Pengarah JKDM Negeri Johor Bahagian Pematuhan, Jainon Sarjo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 2:05 PM