Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Hayati Ibrahim


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyelamatkan hasil negara RM1.6 bilion sehingga 30 November lalu melalui pendekatan pematuhan melalui pendidikan dilaksanakan jabatan berkenaan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri T Subromaniam berkata, melalui fasa pertama dasar itu bermula Jun lalu, JKDM menghantar notis peringatan mesra kepada 62,000 syarikat yang mendaftar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang disyaki mengikrar dan membayar cukai GST kurang daripada sepatutnya untuk membuat pindaan pada penyata GST-03.

“Hasil pendekatan itu, 37,000 atau 61.2 peratus pendaftar GST sudah mengemukakan penyata GST-03 yang betul.

“Pendaftar GST diberi tempoh tiga bulan untuk membuat pindaan pada penyata GST-03 dan lain-lain maklumat yang didapati tidak sepadan atau terdapat kesilapan yang mungkin disengaja atau tidak disengajakan,” katanya pada kenyataan di Putrajaya hari ini.

Subromaniam berkata, susulan usaha ini, JKDM turut melancarkan program Duta GST bermula Oktober lalu di seluruh negara dengan pegawai kastam bertindak sebagai wakil GST di persatuan perniagaan atau dewan perniagaan untuk membantu pendaftar GST yang berdepan masalah dengan isu berkenaan.

Menurutnya, JKDM juga mendapati terdapat peningkatan ketara dalam penghantaran penyata GST-03 yang betul dan lengkap kepada jabatan sejak menggunakan pendekatan pematuhan melalui pendidikan.

Katanya, memandangkan pendekatan ini mendapat maklum balas menggalakkan daripada pendaftar GST, JKDM memutuskan untuk melanjutkan tempoh penghantaran pindaan penyata GST-03 di bawah program ini sehingga 31 Januari 2018.

“Syarikat yang masih tidak membuat pembetulan atau pindaan serta bayaran selepas tempoh itu akan disenaraikan untuk Auditan Penuh JKDM.

“Tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah boleh diambil ke atas mana-mana syarikat yang masih enggan atau gagal mematuhi kehendak serta peruntukan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014,” katanya.

Berikutan itu, Subromaniam berkata, JKDM menasihati pendaftar GST supaya mengambil peluang ini untuk membuat pembetulan atau pindaan serta pembayaran kepada penyata GST-03 bagi mengelak berdepan masalah pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 12:22 PM