Oleh Siti Fatimah Hassan

Sungai Buloh: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini di peringkat akhir untuk menyiapkan proses mengembalikan tuntutan cukai input (ITC) yang dibuat bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, kelewatan pengembalian tuntutan yang berlaku adalah disebabkan pihaknya perlu membuat verifikasi terhadap semua maklumat yang dikemukakan menerusi penyata pada April dan Mei.

Katanya, verifikasi itu penting terutamanya membabitkan peniaga yang membuat tuntutan terlalu tinggi selain ada yang mengemukakan maklumat berbeza ketika pendaftaran.

“Bagi ITC, kita sebenarnya di peringkat akhir dan ini untuk mereka yang mengemukakan penyata pada April dan Mei.

“Memandangkan ia adalah penyata pertama, kita perlu membuat verifikasi terutama tuntutan yang begitu tinggi.

“Ada juga dalam kalangan peniaga yang memberi maklumat berbeza seperti yang dikemukakan ketika pendaftaran dan ia perlu disemak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Mencegah Penyeludupan anjuran JDKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Masjid Nurul Amin, Kampung Merbau Sempak, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili, Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kastam Datuk Hassan Ibrahim dan Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Abdul Gani Othman.

Selain itu, Khazali berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa isu yang berlaku berhubung ITC tidak akan timbul menerusi penyata yang akan dikemukakan selepas ini.

Katanya, semua pihak juga perlu faham memandangkan ia adalah kali pertama dilaksanakan dan perlu dipastikan bahawa tidak ada sebarang penyelewengan atau penipuan berlaku.

“Mungkin selepas penyata pertama dan kedua ini, masalah ini akan dapat ditangani dengan sempurna kerana kita sudah ada rekod dan tidak akan timbul lagi isu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:17 AM