HARIS akui pembabitan dalam PU4 buatkan dia lebih berani beri tazkirah.
HARIS akui pembabitan dalam PU4 buatkan dia lebih berani beri tazkirah.
Najiy Jefri


Biarpun gagal mara ke pentas final Pencetus Ummah (PU) musim keempat yang melabuhkan tirainya minggu lalu, PU Haris tetap optimis dalam menyebarkan dakwah Islam khususnya kepada golongan muda.

Menurut Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail, walaupun terpaksa akur apabila namanya tersingkir pada minggu separuh akhir, dia tidak kecewa sebaliknya bersyukur dan menganggapnya sebagai pencapaian membanggakan buat dirinya.

“Saya bersyukur apabila berjaya bertahan sehingga minggu keenam. Jika dibandingkan ilmu dan pengalaman yang saya miliki, peserta lain jauh lebih hebat dan berbakat,” katanya.

Haris berkata, pembabitannya dalam PU4 adalah atas permintaan ibunya selain mahu merasai pengalaman baru dalam berdakwah di khalayak ramai serta di hadapan mufti.

Katanya, pentas PU4 banyak mengubah karakternya menjadi pendakwah yang lebih baik selain semakin berani menyampaikan dakwah di khalayak ramai.

“Sebenarnya ibu yang minta saya menyertai program ini. Kalau ikutkan hati saya belum bersedia kerana masih kurang ilmu agama.

“Namun, saya ambil cabaran ibu itu selain mahu mencabar diri dalam melakukan perkara baru. Alhamdulillah PU4 banyak mengubah cara saya berdakwah dengan lebih baik.

“Jujur saya katakan, pada mulanya saya tidak perasan saya mempunyai suara yang senada ketika menyampaikan tazkirah, namun selepas beberapa minggu melihat sendiri persembahan yang disampaikan, baru saya perasan dan mempelajarinya secara perlahan-lahan,” katanya.

Siapa sangka, di sebalik penampilan yang bersahaja dan kasual, jejaka kacak berusia 21 tahun itu mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa pemakaian yang digayakan seperti Barat tidak sedikitpun menghalangnya untuk berdakwah.

“Saya cuba mendekati masyarakat untuk menjadi pendakwah. Berdakwah bukan hanya untuk golongan yang berjubah saja, tetapi kita yang berpakaian biasa ini juga boleh berkongsi ilmu agama yang dimiliki kepada umum.

“Saya harap dengan penampilan saya yang bersahaja ini dapat menarik lebih ramai gologan muda untuk berdakwah,” katanya.

Tak tolak berlakon

Sengaja menebak soalan adakah dia berminat untuk menceburi bidang lakonan apabila meraih populairiti di laman sosial selain mempunyai personaliti menarik dan pakej lengkap sebagai seorang hero, Haris berkata, dia sentiasa terbuka asalkan tawaran yang datang menepati garis panduan yang ditetapkan.

“Sebenarnya sebelum menyertai PU 4 saya pernah terbabit dalam sebuah telemovie , tetapi watak yang dibawa tidak berat.

“Namun, jika ada tawaran pada masa mendatang saya akan lakukannya dengan sehabis baik. Bagi saya bidang lakonan juga adalah satu bentuk dakwah asalkan watak yang dibawa itu boleh mendidik masyarakat dan tiada adegan bersentuhan dengan wanita,” katanya yang mempunyai darah campuran Arab dan Pakistan.

Dalam perkembangan lain, pelajar tahun pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kini sibuk menerima undangan tazkirah selain masih bercuti daripada pengajiannya sehingga akhir Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:01 AM