PERSEMBAHAN mengujakan daripada barisan peserta Da'i musim keempat, Qody dan Fareez menerusi lagu Lebaran Kejayaan.
PERSEMBAHAN mengujakan daripada barisan peserta Da'i musim keempat, Qody dan Fareez menerusi lagu Lebaran Kejayaan.
DA'I Niezal yang dinobatkan juara Da'i musim keempat membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.
DA'I Niezal yang dinobatkan juara Da'i musim keempat membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.
Najiy Jefri


Bukan mudah untuk berdakwah apatah lagi menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Itu yang dialami Rasulullah SAW ketika menyebarkan Islam dulu. Malah, baginda dihujani pelbagai dugaan dan cabaran dalam menyebarkan Islam.

Namun, pada zaman moden ini pelbagai pendekatan dan usaha baru dilakukan pelbagai pihak bertujuan menyebarkan serta memantapkan ajaran Islam melalui teknik lebih kontemporari.

Program realiti terbitan TV3 yang kini memasuki musim keempat, Da’i Pendakwah Nusantara membawa kelainan dalam aktiviti pendakwahan.

Ia sekali gus mencetuskan fenomena dalam industri penyiaran tanah air.

Mana tidaknya, mempertaruhkan individu muda yang masih ‘mentah’ di gelanggang itu, namun setiap peserta terbabit mempunyai jiwa besar dalam mendidik serta menyampaikan dakwah kepada penonton mengikut kemampuan ilmu agama dimiliki.

Selepas 12 minggu finalis Da’i Pendakwah Nusantara berdepan pelbagai tugasan menguji kreativiti dalam menyampaikan tazkirah dan kepakaran dalam sesi soal jawab, mereka diraikan dengan sambutan yang mengujakan dalam final Da’i yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam kelmarin.

Kemenangan Da’i Niezal atau nama sebenarnya Mohd Sufwan Niezal Sabri, 19, sebagai juara musim keempat Da’i Pendakwah Nusantara mendapat impak luar biasa daripada penonton. Sri Pentas 2 bergema dengan luahan kesyukuran berikutan lahirnya seorang lagi pendakwah muda.

Menyampaikan tazkirah bertajuk Wahai Anakku selama lima minit untuk pusingan pertama dan pada pusingan kedua ternyata memberi kelebihan kepada Niezal apabila berjaya menjawab dengan tenang soalan spontan daripada penonton bertajuk perkahwinan.

Mengulas lanjut mengenai kemenangannya, jejaka kelahiran Terengganu ini memanjatkan rasa syukur terhadap Allah atas kemenangan yang dikecapi. Segalanya sudah dirancang Ilahi dan dia hanya berusaha dengan sebaik mungkin.

Menurut Niezal, dia tidak menyangka dengan kemenangan itu dan menyifatkan ia sebagai rezeki daripada Allah.

“Sebenarnya saya tidak jangka akan mara ke final, sekali gus menjadi juara. Bagi saya, ini satu amanah dan tanggungjawab. Mudah-mudahan dakwah yang diberikan akan sampai ke hati masyarakat,” katanya.

Rizal yang juga anak yatim piatu berkata, pembabitannya dalam program keagamaan itu pengalaman berharga yang tidak semua orang mampu memperolehnya.

“Saya mula bergelar yatim piatu ketika arwah ayah meninggal dunia pada 2006 diikuti ibu empat tahun kemudian. Kehilangan insan tersayang adalah satu perkara yang paling berat untuk diterima sehinggakan murabbi, Dr Robiah K Hamzah perasan dan menegur saya.

“Berbekalkan pengalaman dan kelebihan yang dimilikinya, dia banyak memberi motivasi kepada saya. Katanya walaupun kita seorang anak yatim piatu, tapi jangan lupa Allah akan gantikan dengan sesuatu yang menggembirakan kita. Bermula hari itu saya mula kuat dan membina keyakinan diri

“Program ini bukan sekadar melahirkan juara, tetapi banyak ilmu yang saya timba. Insya-Allah saya akan terus berdakwah kerana saya percaya menerusi dakwah jiwa masyarakat akan subur ,” katanya.

Dalam pada itu, juri tetap program ini Datuk Dr Izhar Ariff yakin kelahiran pendakwah generasi muda ini mampu mengajak masyarakat untuk mendekati agama.

“Bukan mudah untuk mencari golongan muda yang berani ke depan untuk berdakwah. Lagipun setiap orang pasti bermula dengan proses pembelajaran.

“Program ini ternyata menjadi pusat latihan terbaik kepada pendakwah muda ini untuk berdakwah di televisyen dan di hadapan audien. Saya percaya 10 tahun akan datang tidak mustahil mereka mampu berada di tempat juri atau murabbi.

“Jadi jangan sesekali memandang sebelah mata terhadap generasi muda ini kerana mereka antara individu yang sedang meraih perhatian ramai,” katanya.

Belum fikir mengenai wang kemenangan

Dengan kemenangan itu, Niezal yang juga anak sulung daripada empat beradik membawa pulang wang tunai RM50,000, pakej umrah dan trofi.

Niezal berkata, buat masa ini, dia belum ada perancangan berkenaan wang kemenangannya itu.

Pada waktu sama, Niezal tetap meneruskan sesi pengajiannya di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang dalam jurusan Diploma Dakwah dan Pengurusan untuk semester kedua hujung tahun ini.

Dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Da’i Nasrul dan Da’i Saiful berpuas hati dengan hadiah sagu hati berupa wang tunai RM5,000 beserta hadiah iringan.

Nasrul berkata, walaupun tewas, ia tetap rezeki buatnya.

“Saya sudah cuba yang terbaik untuk setiap segmen walaupun pusingan kedua ada sedikit kekurangan,” katanya.

Sementara itu, Saiful berkata, platform yang dimiliki dalam program keagamaan terbabit memudahkannya untuk terus berdakwah.

“Insya-Allah apabila sudah ada platfrom lebih senang saya nak berdakwah. Selain itu, tawaran lakonan daripada Datuk Rosyam Nor juga membolehkan saya untuk berdakwah. Bagi saya, kaedah ini antara usaha paling mudah untuk menyampaikan mesej agama dengan berkesan,” katanya.

Penilaian pada peringkat akhir itu dilakukan dua juri tetap iaitu Dr Izhar Ariff dan Ustaz Zarifi, manakala juri awam terdiri daripada barisan selebriti dan personaliti Media Prima seperti penyampai Kool FM AG, pelakon Izzue Islam, Da’i Farhan, Da’i Fuad, Diana Amir, Da’i Adibah, Da’i Hamidah, Pengarang Selebriti, Metro Ahad Hartati Hassan Basri dan pengasas Almas Beauty & Health, Datin Maziah Mohamed.

Sistem penjurian program yang dihoskan Datuk Rosyam Nor ini dinilai berdasarkan 70 peratus daripada juri profesional, 20 peratus murabbi (Ustaz Zul Ramli dan Dr Robiah K Hamzah) dan 10 peratus juri awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 11:37 AM