BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Datuk Seri Halim Mohd Ali, 51, didakwa dengan sengaja mencederakan Rosarita Saad, 36, dengan cara menarik rambut, menumbuk dan menampar kepala serta muka wanita itu di sebuah kawasan berhampiran RHB Bank, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, di sini, pada 11.30 malam, 23 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM4,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 7:25 PM