Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah filem Mentega Terbang didakwa di dua mahkamah majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain melalui filem itu, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga penulis skrip Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 37, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim dan Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang itu dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang itu dengan berperanan sebagai seorang Pengarah dan Penulis Skrip serta Penerbit Filem bertajuk Mentega Terbang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, di sini, pada 12.34 tengah hari, 26 Februari tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Abd Malik Ayob dan Nor Azizah Aling menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan mengenakan perintah larang suara mengenai inti pati kes ini sehingga selesai.

"Selain itu, mereka diminta melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah," katanya.

Peguam N Surendran yang mewakili kedua-dua tertuduh membantah jaminan ditawarkan dengan menyifatkan ia terlampau tinggi.

"Jumlah RM10,000 diminta pendakwaan terlalu tinggi dan kami membantah larangan gag order kerana permohonan tiada asas dalam bidang kuasa mahkamah," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Khairianwar dibenarkan ikat jamin RM6,000, manakala Tan dijamin RM6,500 dengan masing-masing seorang penjamin selain syarat tambahan kedua-duanya melapor diri di balai polis berdekatan, sekali setiap bulan.

Pada masa sama kedua-dua tertuduh juga dilarang memberikan apa-apa kenyataan berkaitan kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, platform penstriman Viu menghentikan tayangan filem kontroversi, Mentega Terbang pada 27 Februari tahun lalu.

SKMM menjelaskan, walaupun tidak mempunyai kuasa menapis filem dan drama televisyen kerana tidak berada di bawah bidang kuasanya, suruhanjaya itu sudah menghubungi Viu sebelum mengesahkan penamatan siaran filem Mentega Terbang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 11:07 AM