Mayat Rahmat Rahani, 21, yang selepas terbabit dalam kemalangan di Simpang Kampung Kenyum, Langkawi, hari ini. -
Mayat Rahmat Rahani, 21, yang selepas terbabit dalam kemalangan di Simpang Kampung Kenyum, Langkawi, hari ini. -
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang pekerja hotel maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang sedang mengundur di Simpang Kampung Kenyum di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.15 petang, Rahmat Rahani, 21, dari Kampung Bukit Tangga di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Ulu Melaka menghala Padang Matsirat.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun mengundur untuk memasuki simpang sebelum dilanggar mangsa yang menunggang motosikal.

“Pekerja hotel itu cedera parah di kepala dan anggota badan, meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa memiliki lesen memandu yang sah dan memakai topi keledar ketika kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 10:18 PM