ASKAR Thai memeriksa mayat seorang penyeludup dadah yang ditembak mati di sempadan negara itu. - Bangkokpost
ASKAR Thai memeriksa mayat seorang penyeludup dadah yang ditembak mati di sempadan negara itu. - Bangkokpost
AFP

Bangkok: Tentera Thailand menembak mati tujuh lelaki yang dipercayai penyeludup dadah di kawasan yang dikenali sebagai Segitiga Emas di sempadan negara itu, kata pegawai semalam.

Jurucakap tentera berkata, tembak menembak berlaku pada jam 1 pagi (waktu tempatan) apabila suspek yang berjalan melalui kawasan pergunungan enggan berhenti ketika cuba ditahan anggota tentera yang membuat rondaan.

“Ketujuh-tujuh lelaki berkenaan maut di tempat kejadian.

“Kami mengesyaki mereka daripada etnik Wa dan cuba menyeludup dadah ke wilayah Chiang Rai yang terletak berhampiran sempadan Myanmar,” katanya.

Menurutnya, askar Thailand merampas kira-kira 554,000 pil methamphetamine, 30 kilogram heroin dan selaras raifal AK-47 daripada suspek.

Etnik Wa yang menetap di barat laut Myanmar, adalah kumpulan pemberontak yang menguasai banyak kawasan dan didakwa menguasai empayar dadah.

Kawasan sempadan antara Thailand, Myanmar dan Laos itu dikenali sebagai Segitiga Emas kerana berada di zon pengeluaran dadah terbesar di rantau ini.

Kawasan Segitiga Emas itu sebelum ini terkenal dengan perdagangan candu tetapi kini menjadi pengeluar methamphetamine ketika permintaan untuk dadah itu melonjak di Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 7:30 AM