POLIS Thailand memeriksa lokasi 15 suspek penyeludup dadah ditembak mati di utara wilayah Chiang Mai. FOTO AP
POLIS Thailand memeriksa lokasi 15 suspek penyeludup dadah ditembak mati di utara wilayah Chiang Mai. FOTO AP
AFP

Bangkok: Tentera Thailand menembak mati 15 suspek penyeludup dadah di sempadan Myanmar-Thailand ketika cuba menyeberang ke utara Thailand, semalam.

Seorang pegawai dari Pasukan Petugas Pha Muang, yang memantau enam wilayah sempadan berkata, pihaknya menemui kira-kira 20 individu berjalan dari arah Myanmar, di utara wilayah Chiang Mai.

Katanya, anggota kumpulan itu melepaskan tembakan rambang selepas mereka diarahkan berhenti sebelum tentera membalas tembakan hingga mengorbankan 15 orang.

"Sebanyak 30 beg dadah ditemukan dari tempat kejadian.

"Pemeriksaan awal kami mendapati ia adalah syabu (methamphetamine)," kata tentera itu.

Insiden itu berlaku berhampiran Segi Tiga Emas, sempadan Thailand, Myanmar dan Laos yang sejak sekian lama menjadi hab penyeludupan walaupun tindakan keras berulang kali dilakukan pihak berkuasa.

Methamphetamine, perangsang yang sangat ketagih sering dihasilkan di Myanmar dan dihantar melalui Thailand dan Laos untuk dieksport ke seluruh Asia.

Pihak berkuasa di seluruh Asia Tenggara membuat rekod rampasan dadah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 10:50 AM