YIN Loo (kiri) dan   Meng Yean pamer aksi terbaik bersama pasangan masing-masing.
YIN Loo (kiri) dan Meng Yean pamer aksi terbaik bersama pasangan masing-masing.

Kuala Lumpur: Jurulatih beregu wanita negara, Lim Pek Siah berpuas hati dengan prestasi anak buahnya terutama gandingan Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang meraih gelaran antarabangsa baru-baru ini.

Menurutnya, beliau gembira dengan kedua-dua gandingan berkenaan kerana berjaya melakar kejutan di beberapa kejohanan dan paling menarik mampu meraih gelaran antarabangsa.

“Saya harap mereka mampu meneruskan momentum ini dan terus-menerus melakar kejutan di beberapa kejohanan akan datang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Yin Loo-Cheng Wen berjaya merangkul gelaran Terbuka Scotland, Cabaran Antarabangsa Indonesia dan naib juara Siri Antarabangsa Vietnam serta mara ke separuh akhir Terbuka Wales dan Masters Taiwan.

Mei Kuan-Meng Yean pula merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Malaysia dan naib juara Terbuka Poland serta mara sehingga ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Orleans, Masters Taiwan dan Terbuka Macau.

“Ini menunjukkan strategi saya dan Wong Pei Tty nyata bersesuaian dengan corak permainan mereka. Kami juga sudah banyak kali mengadakan perbincangan dengan mereka. Mereka sangat jelas dengan hala tuju karier masing-masing,” kata Pek Siah.

Ditanya mengenai prestasi naik turun pasangan utama, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, bekas pemain negara itu mengakui semua itu berkait rapat dengan minda masing-masing.

“Mereka hanya kurang keyakinan dan saya harap perkara ini mampu diperbaiki menjelang musim baru nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 8:26 AM