IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Muhammad Apendy Issahak


Slim River: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas dari tebing setinggi kira-kira 3 meter di Jalan Gunung Besout-Kuala Slim, di sini, hari ini.

Mangsa meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi lelaki yang cedera dihantar ke hospital oleh ambulans dan orang awam dalam kejadian kira-kira 10 pagi ini.

Difahamkan, mangsa terbunuh dikenali Adenan Ali, 24, manakala dua yang cedera adalah Muhammad Hamiz Zurami, 25 dan Mohd Shukri Fikri, 30.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jaspian Jamaludin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 10.13 pagi.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati kereta dinaiki mangsa turut terbalik di dalam kawasan berpaya.

"Bomba mendapati ketiga-tiga mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan yang terbalik itu oleh orang awam.

"Bantuan awal diberikan kepada mangsa dan membawa mereka naik ke bahu jalan.

“Namun seorang daripada mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, seorang daripada mangsa yang cedera dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans dan seorang lagi dihantar dengan menggunakan lori orang awam.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan ll Yuslli Abd Latif tamat jam 11.20 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 2:46 PM