Rosman Shamsudin


Slim River : Tiga unit kedai dua tingkat di Taman Krishnan di sini, terbakar membabitkan kerugian dianggar RM800,000, malam tadi.

Dalam kejadian 12.05 malam, operasi memadam dan mengawal kebakaran membabitkan 37 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Teluk Intan,Tapah, Bidor,Tanjung Malim dan Ipoh.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Empat, Kamarulzaman Basirun, berkata kebakaran itu membabitkan kedai cat, alat ganti kereta dan sebuah restoran namun tidak menyebabkan kecederaan atau kematian.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 4.41 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut disertai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jaspian Jamaludin dan Pegawai Bomba Kanan II, Yusli Abd Latif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:53 AM