ANTARA kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
Rosman Shamsudin


Slim River: Seramai 13 orang cedera dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 357, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini, malam tadi.

Kejadian membabitkan sebuah Proton Perdana, Perodua Bezza, Proton Wira, Audi dan Honda HRV.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian terbabit, 11.53 malam tadi.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiba di tempat kejadian, lima kenderaan terbabit dalam kemalangan, termasuk dua kenderaan terbalik.

"Seramai 13 mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan iaitu lapan lelaki dan lima perempuan mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap JBPM berkata, sebahagian mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan selebihnya dengan bantuan orang awam.

"Anggota bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

"Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, operasi tamat 12.40 tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 10:18 AM