MENG Yean (depan) dan Mei Kuan atasi beregu Indonesia.
MENG Yean (depan) dan Mei Kuan atasi beregu Indonesia.

Kuala Lumpur: Kejutan terus dilakar pemain negara pada Terbuka Macau dan kali ini giliran beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menundukkan pilihan ketiga, Della Destiara Haris-Rosyita Eka Putri Sari dari Indonesia pada pusingan kedua semalam.

Mereka mengambil masa satu jam 10 minit sebelum menang 12-21, 21-18, 21-19 seterusnya mara ke suku akhir hari ini berdepan Hsu Ya Ching-Wi Ti Jung dari Taiwan.

“Hari ini (semalam) perlawanan memang amat sukar, jadi kami sudah bersedia dari awal untuk memberi tentangan sengit. Pada set pertama kami akui tersilap taktikal namun di set kedua kami berjaya menggunakan strategi yang betul seterusnya meraih banyak mata,” kata Meng Yean.

Jelasnya, dia berasa amat bernasib baik pada set kedua dan ketiga, kerana pasangan lawan mendahului mereka sebelum itu, tetapi berbekalkan semangat juang tinggi mereka berjaya mengejar seterusnya meraih kemenangan.

Turut mara ke suku akhir perseorangan wanita Goh Jin Wei yang memperoleh kemenangan percuma ke atas Rusydina Antardayu Riodingin (Indonesia) yang menarik diri ketika ketinggalan 10-21, 1-11.

Pemain profesional Chong Wei Feng juga menempah slot ke suku akhir apabila mengalahkan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia 21-17, 19-21, 21-18 namun perjalanan Liew Daren tersekat apabila tumpas 13-21, 21-17, 15-21 kepada Muhammad Bayu Pangisthu (Indonesia).

Pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut cemerlang apabila mengalahkan Ho Wai Lun-Yuen Sin Ying dari Hong Kong 21-16, 27-25 dan pilihan ketiga kejohanan itu akan berdepan Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika dari Indonesia hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 11:04 AM