ZII Jia akan menentang pemain China, Chen Long di suku akhir Seluruh England hari ini di Arena Birmingham. FOTO NSTP
ZII Jia akan menentang pemain China, Chen Long di suku akhir Seluruh England hari ini di Arena Birmingham. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dilihat semakin selesa dan memberi permainan meyakinkan apabila mara ke suku akhir Seluruh England.

Selepas menumpaskan Jonatan Christie di pusingan pertama kelmarin, pemain muda China, Lu Guang Zu menjadi mangsa terbaru Zii Jia di Arena Birmingham semalam.

Zii Jia yang akan berdepan Chen Long di suku akhir berjaya mencatat kemenangan straight set 21-10, 21-16.

Chen Long mara ke suku akhir selepas mengalahkan legenda dan rakan senegaranya, Lin Dan 21-17, 21-18.

Turut mara ke suku akhir ialah naib juara tahun lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya mengalahkan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 24-22, 21-17

Mereka akan berdepan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia hari ini.

Sementara itu, perjuangan beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menemui noktah apabila tumpas kepada wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 19-21, 16-21.

Nasib yang sama menimpa beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang ditunjukkan jalan keluar oleh wakil Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 19-21, 21-18, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 3:15 AM