Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Mara dalam kesakitan. Pilihan utama Sirkit Kebangsaan Pertama Zulfadli Zulkiffli (gambar) tidak berdepan masalah mara ke suku akhir selepas menang pusingan kedua dan ketiga di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Bagaimanapun, Zulfadli berdepan saat getir pada aksi kedua ketika menumpaskan Chong Yee Han 21-15, 21-19 apabila mengalami kecederaan lutut kanan set pertama, namun pada aksi sebelah petang (pusingan ketiga) ketika mengalahkan Woon Kok Hong 21-12, 21-17 keadaannya semakin positif.

Menurut juara remaja dunia 2011 itu, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan ini dan menganggapnya sebagai persiapan terbaik sebelum beraksi di Terbuka Indonesia dan Australia.

“Saya tidak ada apa-apa sasaran atau mahu buktikan sesuatu,” kata Zulfadli yang mengakui sudah melupakan kekecewaan tidak terpilih dalam skuad Piala Thomas 2016.

Menantinya di suku akhir hari ini Tan Chun Seang yang sebelum itu mengalahkan S Krishna Kumar 21-9, 22-20 (pusingan kedua) dan Chin Wai Kin (pusingan ketiga) 21-11, 21-16.

“Bertemu Chun Seang, saya rasa peluang kami 50-50 kerana kami sering mengadakan perlawanan latihan bersama seminggu dua kali apabila kami sekarang ini bergerak secara profesional. Kami sudah tahu corak permainan antara satu sama lain,” katanya.

Turut mara ke suku akhir seorang lagi bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Goh Giap Chin yang mengalahkan Ai Wei Jian di pusingan ketiga, 21-9, 21-17 dan dia akan berdepan Arif Latif hari ini.

Arif tidak berdepan masalah mengalahkan pemain veteran, K Yogenderan 21-12, 21-18 dan pilihan keenam, Lim Chi Wing pula mara selepas menumpaskan juara Seluruh England 2003, Hafiz Hashim 19-21, 21-12, 21-16.

Chi Wing akan menentang Chong Wei Feng yang sebelum itu menyingkirkan Ziyad Tahad, 21-13, 21-14, manakala Liew Daren menempah slot ke suku akhir apabila mengalahkan Syed Akbar Shah Syed Mustakim 18-21, 21-10, 21-17.

Pilihan kedua, Goh Soon Huat akan berdepan Daren hari ini, selepas mengalahkan pemain pelapis kebangsaan, Lee Zii Jia 21-17, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:55 AM