Manja, mengada-ngada dan dahagakan perhatian adalah tanggapan biasa dilontarkan kepada anak bongsu. HAZRIL MDNOR berpendapat, remaja berstatus bongsu ada kelebihan tersendiri berbanding ahli keluarga yang lain

Menjadi satu-satunya insan yang dilahirkan dalam keluarga yang besar pastinya memberikan serba sedikit rasa tidak selesa terutamanya apabila adik-beradik lain bersifat 'pembuli'. Bagi penulis, mempunyai status sebagai anak bongsu adalah suatu anugerah paling indah kerana kita mempunyai banyak kelebihan yang tidak dimiliki adik-beradik lain.

Usah khuatir jika bebelan hinggap di telinga kerana itu perkara biasa yang terjadi kepada si bongsu. Mempunyai ramai abang dan kakak ada kelebihannya sendiri. Tidak seperti orang lain yang selalu meminta pendapat ibu bapa, anda sebagai si bongsu boleh merujuk kepada abang atau kakak untuk nasihat dan pendapat kerana mereka lebih memahami anda terutama dalam persoalan yang berada di luar pengetahuan ibu bapa seperti soal cinta dan sebagainya.

Namun, bukanlah semua anak muda yang berstatus bongsu selesa dengan keadaan ini. Kadangkala timbul rasa tidak puas hati kerana adik-beradik lain mungkin bebas melakukan apa saja kerana mereka lebih tua dan lebih berpengalaman dengan dunia luar.

Jangan sesekali beranggapan begitu! Realitinya, anda sebagai insan yang paling muda dalam ahli keluarga ada keistimewaan sendiri. Kata orang, hanya anak bongsu saja yang memiliki kelebihan ini. Gen Y bincangkan.

Selalu dapat perhatian

Tak salah kalau penulis katakan si bongsu diberi perhatian lebih ibarat anak emas berbanding adik-beradik yang lain. Apa saja kehendak dan kemahuan, semuanya dituruti.

Dalam satu kajian dijalankan oleh Telegraph (United Kingdom), seramai 1,803 ibu bapa menunjukkan lebih kasih sayang pada anak bongsu berbanding adik-beradik lain.

Ibu bapa akan lebih memihak pada mereka, memberikan lebih perhatian dan lebih kebebasan.

Oleh itu, berbanding adik-beradik yang lain, anda lebih memahami erti kasih sayang dan itu boleh memberikan kesan positif pada kemudian hari. Sebagai contoh, kerana diberikan perhatian oleh ibu bapa dan juga adik-beradik, anda akan lebih fokus untuk melakukan sesuatu yang seronok dan menghiburkan hati anda.

Lebih berhati-hati

Perkara biasa berlaku apabila adik-beradik lebih tua dikaitkan dengan hal yang tidak berfaedah dan merugikan diri sendiri. Anda sebagai si bongsu boleh jadikan masa lalu mereka sebagai teladan yang berguna. Walaupun diberikan kebebasan untuk melakukan apa saja, anda boleh menentukan sendiri dan jauh lebih optimis memikirkan kesan sebelum melakukan sesuatu yang kurang berfaedah. Melihat sendiri apa kesannya yang berlaku pada adik-beradik lain, anda pastinya tidak mahu sejarah berulang kembali.

Bebas minta pendapat

Anak sulung kebiasaannya meminta pendapat ibu bapa dari segi akademik, soal cinta dan sebagainya. Tetapi bagi anda yang berstatus bongsu, hal ini lebih mudah bagi anda untuk merujuk kepada abang atau kakak yang lebih berjiwa muda. Mereka boleh berikan tip ataupun nasihat yang lebih bersesuaian dengan arus teknologi dan hal semasa yang mungkin tidak berlaku pada zaman ibu bapa anda.

Ibu bapa jadi keutamaan

Mungkin kadang-kadang anda rimas dengan bebelan dan nasihat daripada ibu bapa tetapi perkara itu yang memberikan anda kesedaran.

Sebagai contoh, kerana terlalu disayangi ibu bapa berbanding adik-beradik lain, anda akan menganggap ibu bapa adalah segala-galanya. Semakin anda membesar, anda akan lebih menyayangi mereka, bahkan lebih bersemangat untuk membuat mereka bangga dengan pencapaian anda dalam bidang akademik dan sebagainya.

Jauh daripada masalah

Masalah dalam institusi kekeluargaan adalah perkara biasa. Namun, sebagai anak bongsu, anda tidak perlu merasakan semua tempias itu kerana realitinya anda masih lagi muda dan tidak matang untuk mengendalikan masalah yang rumit.

Namun, jangan pula rasakan bahawa anda disisih dan diketepikan, sebaliknya menganggap hal yang positif untuk anda tidak menghampakan ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Justeru, hal ini juga memberi kelebihan di mana ahli keluarga akan memberikan yang terbaik pada anda dalam aspek pendidikan, kewangan dan sebagainya.

Ceriakan suasana

Pasti ramai ibu bapa yang inginkan anak bongsu perempuan jika adik-beradik lain semuanya lelaki dan sebaliknya. Justeru, sebagai insan yang terakhir berada dalam institusi kekeluargaan, anda bertuah kerana dianggap istimewa oleh ibu bapa. Kehadiran anda memberikan mereka senyuman dan perasaan tidak sangka, justeru, anda patut bersyukur jika berstatus bongsu. Sebagai satu-satunya anak perempuan atau lelaki yang bongsu dalam keluarga, tunjukkan anda juga boleh berdikari dan tidak mudah mengalah berbanding adik-beradik yang lain.

Peka dan bijak

Anak yang terakhir juga sering dikaitkan dengan kejayaan dalam bidang akademik dan juga aspek lain. Berstatus bongsu memberikan tanggapan istimewa pada anda terutama sekali apabila anda dilahirkan pada zaman teknologi maju seperti Gen Y masa kini. Anda lebih peka pada isu semasa dan berminat mengambil tahu akan hal yang berlaku di sekeliling anda. Melihat kepada masa lalu abang atau kakak yang kurang bernasib baik, itu boleh menjadi contoh untuk anda berusaha lebih gigih dalam bidang akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:02 AM