Yusliza Yakimir Abd Talib


AMALAN memberi layanan dan keutamaan yang berat sebelah kepada seorang anak sambil mengabaikan anak lain bukan suatu perkara yang luar biasa dalam masyarakat kita. Ada keluarga yang hanya mempunyai dua anak, tetapi ibu dan bapa lebih sayang kepada si bongsu menyebabkan anak sulung terasa hati sampai dewasa.

Namun perkara ini jarang diperkatakan oleh masyarakat secara terbuka kerana sifatnya yang sukar diterima oleh ibu bapa dan anak itu sendiri.

Kasih sayang dan perhatian ibu bapa mungkin lebih ditumpahkan kepada anak yang lebih cerdik, cantik atau rajin tidak kurang juga segelintir ibu bapa yang bersikap berat sebelah terhadap anak berlainan jantina. Tidak kurang perhatian ibu bapa tertumpah kepada anak yang dilihat lebih berjaya dan berjawatan tinggi, sedangkan anak yang bekerja sendiri dan menetap di kampung dipandang sebelah mata.

Pakar Psikiatri UiTM Private Specialist Centre (UPSC) Dr Nor Jannah Nasution Raduan berkata, sama ada secara sedar atau tidak, amalan pilih kasih dilakukan oleh ramai ibu bapa tapi ia mula menjadi masalah apabila terdapat perbezaan layanan yang konsisten dan nyata di antara adik-beradik.

Katanya, pilih kasih antara anak mendatangkan kesan yang buruk. Anak yang diberi layanan yang berbeza atau berkurangan kasih sayang boleh menyebabkan mereka kurang keyakinan diri, kemurungan, senang untuk bertindak agresif dan pencapaian akademik yang kurang memuaskan.

“Anak yang mendapat layanan istimewa juga mendapat kesan buruk. Hubungan kekeluargaan antara adik-beradik boleh menjadi renggang menyebabkan sistem kekeluargaan dan sistem sokongan antara satu sama lain terganggu.

“Kesan ini adalah kesan jangka masa panjang sehingga anak sudah dewasa. Anak yang diberi layanan kurang daripada ibu bapa akan mempunyai keyakinan diri yang lemah apabila meningkat dewasa. Ini juga boleh mengganggu hubungan mereka dengan rakan dan orang sekeliling,” katanya.

USAH membezakan kasih sayang.
USAH membezakan kasih sayang.

Menurutnya, punca berlakunya sifat pilih kasih termasuk:

1. Kedudukan anak dalam keluarga

Anak pertama dan bongsu selalunya diberi lebih perhatian dan kasih sayang kerana mereka banyak waktu berseorangan bersama ibu bapa. Contohnya anak pertama akan menghabiskan masa sekian lama sebagai anak tunggal sebelum datang adiknya yang kedua. Begitu juga dengan anak bongsu yang mana selepas adik-beradik lebih tua telah keluar rumah, anak bongsu akan menghabiskan masa yang lama di rumah bersama ibu bapa.

2. Kepercayaan masyarakat terhadap kelebihan anak lelaki

Dalam masyarakat yang mempunyai kepercayaan bahawa anak lelaki membawa kebaikan yang lebih berbanding anak perempuan, ibu bapa akan berat sebelah kepada anak lelaki tersebut.

3. Anak kurang bermasalah

Ibu bapa secara lahiriah juga akan menyayangi anak-anak yang kurang bermasalah berbanding mereka yang bermasalah disiplin, kelakuan atau masalah personaliti yang sukar ditangani oleh ibu bapa.

Ibu bapa yang sedang dilanda masalah emosi dan stres akan menjadikan mereka rapat dan bergantung kepada anak yang mereka lebih suka atas sebab tertentu.

4. Anak yang mempunyai masalah kesihatan fizikal

Selalunya anak ini mendapat lebih perhatian daripada ibu bapa, namun anak lain selalunya menerima keadaan ini kerana sayangkan ahli keluarga yang sakit itu. Namun, ibu bapa harus peka terhadap perasaan anak lain.

5. Ibu bapa dengan kemudahan material terhad

Dalam keadaan ini, ibu bapa mungkin akan pilih kasih terhadap anak yang lebih berjaya dan mampu untuk memberikan keperluan material dan kewangan.

DR JANNAH NASUTION
DR JANNAH NASUTION

Menurut Dr Nor Jannah, anak yang berdepan perkara ini sebenarnya boleh berbincang dengan ibu bapa supaya perkara ini tidak berterusan. Gunakan perkataan dan bahasa yang baik dalam mencari penyelesaian. Tenangkan diri apabila bercakap mengenai isu ini kerana ia sememangnya isu sensitif yang boleh mempengaruhi emosi dan nada suara.

Katanya, adalah perkara biasa untuk berasa kecewa atas sebab ketidakadilan yang berlaku mungkin sekian lama. Biasanya dalam keadaan kecewa, sukar untuk seseorang bercakap dengan tenang. Ibu bapa juga sukar untuk menerima teguran anak lain apatah lagi jika membabitkan anak kesayangan.

“Pastikan anda dan ibu bapa dalam keadaan tenang sebelum mendekati ibu bapa untuk berbincang. Ceritakan perasaan anda berserta contoh situasi yang berlaku yang menyebabkan anda rasa ibu bapa mungkin bersikap pilih kasih.

“Elakkan menyalahkan ibu bapa atau adik beradik yang dirasakan telah menjadi anak kesayangan ibu bapa. Kemudian haruslah mendengar perspektif ibu bapa juga. Kemungkinan ibu bapa mempunyai cara atau sebab tersendiri atas tindakan mereka yang mungkin telah disalahertikan,” katanya.

Selain itu katanya, anak yang berdepan dengan masalah perlu merenung dari setiap sudut berkaitan perlakuan pilih kasih dalam keluarga kerana kemungkinan ia hanyalah tanggapan sendiri.

Menurutnya, anak perlu mengetahui cara terbaik untuk menghadapi tekanan ini dan tidak salah untuk mendapatkan bantuan kaunselor, menulis jurnal atau berkongsi dan berbincang dengan rakan mengenai pengalaman mereka.

Malah sebagai anak, anda juga haruslah menjadi seorang yang bertanggungjawab dengan mengikut peraturan ibu bapa. Jalankan tanggungjawab sebagai anak sebaik mungkin, kerap menghubungi mereka, menjaga budi bahasa dan akhlak mulia serta sentiasa menjaga silaturahim dengan keluarga.

Peranan ibu bapa dalam tangani isu pilih kasih

Sebagai ibu bapa, kita adalah manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Bahkan, kita juga melalui kesilapan. Cara terbaik ialah ibu bapa harus selalu refleksi diri mengenai cara kasih sayang yang ditunjukkan kepada anak.

Sentiasa berfikiran terbuka apabila anak mengadu mengenai ketidakadilan dan persaingan antara adik-beradik. Jika anak menunjukkan kelakuan yang berbeza, hendaklah berbincang sesama keluarga jika ada perkara yang boleh diperbaiki.

Berbincang mengenai emosi dan perasaan dengan fikiran yang terbuka dan keadaan yang tenang serta selalu menunjukkan penghargaan kepada perkara baik yang dilakukan oleh setiap anak.

Paling penting, jika ibu bapa melalui tekanan atau masalah, dapatkan pertolongan supaya tidak dilepaskan secara negatif kepada anak.

Berjumpalah dengan doktor, pakar psikologi atau kaunselor untuk meringankan beban tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 4:30 AM