MOHAMAD Nazeri berkahwin buat kali kedua bersama Yazrina. FOTO ihsan Nordiana Mohamad Nazeri
MOHAMAD Nazeri berkahwin buat kali kedua bersama Yazrina. FOTO ihsan Nordiana Mohamad Nazeri
Noor Hidayah Tanzizi


Kuantan: "Arwah mak memang selalu pesan kepada kami jika suatu hari nanti dia 'pergi' dulu dan abah mahu berkahwin lain, dia mahu semua anak bersetuju dan tidak halang niat itu kerana mak tidak mahu abah kesunyian hidup sendirian," kata Nordiana Mohamad Nazeri.

Nordiana, 35, adalah wanita yang mendapat perhatian apabila berkongsi video bapa, Mohamad Nazeri Nordin, 65, berkahwin buat kali kedua bersama ibu tiri, Yazrina Yahaya, 48, selepas ibu kandungnya, Siti Saudah Mat Ali, 65, meninggal dunia.

Pasangan berkenaan berkahwin selepas empat bulan Siti Saudah meninggal dunia akibat komplikasi penyakit kencing manis, buah pinggang tahap empat dan jangkitan kuman pada paru-paru pada 7 September tahun lalu.

Nordiana berkata, pada mulanya bapa yang masih bersedih dengan kehilangan ibu tidak terfikir untuk berkahwin semula namun dia yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu memberi cadangan untuk warga emas berkenaan bernikah.

Menurutnya, cadangan itu turut dipersetujui abang dan kakaknya kerana mereka tidak mahu bapa tinggal seorang diri di rumah tanpa peneman kerana bapa tetap mahu tinggal di rumahnya di Gambang, di sini.

"Apabila abah juga sudah bersetuju, saya mula mencari calon yang bersesuaian sebelum menemui ibu (tiri) yang juga kakak ipar kepada sahabat baik saya. Apabila masing-masing sudah bersetuju, saya dan semua adik-beradik masuk meminang ibu.

"Semua urusan perkahwinan abah dan ibu yang sebelum ini berstatus balu tiga anak kami adik-beradik yang uruskan dan Alhamdulillah semua berjalan lancar," katanya yang menetap di Tanah Rata, Cameron Highlands.

Suri rumah itu berkata, biarpun ibu tersayang baru empat bulan meninggal dunia dan bapa sudah berkahwin lain namun dia dan adik-beradik lain tidak menganggapnya terlalu cepat kerana baginya ibunya sentiasa dalam hati mereka.

"Kami mencari isteri baru untuk abah bukan sebagai peneman semata-mata tetapi kami tidak mahu mementingkan diri dan biarkan abah hidup seorang diri di kampung di usia seperti itu selain pesanan mak yang tidak mahu abah kesunyian.

"Mak juga pesan supaya kami menerima kehadiran ibu tiri dengan baik, malah pesan minta kami sayang dan melayan isteri baru abah seperti ibu kandung. Kami saling menerima keluarga masing-masing dan menjadi satu keluarga," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Nordiana berkata, dia berterima kasih dengan semua komen positif netizen yang turut memberi pandangan sama seperti mereka, namun ada juga sedikit komen yang mempersoalkan tindakannya.

"Ada yang tanya kenapa beri abah kahwin sedangkan mak baru saja meninggal dunia. Sebenarnya kami bukannya tidak sedih tetapi kehidupan perlu diteruskan dan ini juga sudah jodoh abah dan ramai yang sokong dan setuju abah juga perlukan teman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 10:09 PM