Ridhatul Rizki


COMEL dan mencuit hati. Itu reaksi netizen mengenai video Ainnur Madihah Norman Tajree, 2, yang pura-pura tidur apabila ‘dimarahi’ ibunya, Rozailah Abdullah, 35.

Video itu mula tular sejak 14 Julai lalu apabila bapa saudara Ainnur yang menggunakan nama @whoshariz di Twitter memuatnaik di laman sosial terbabit sehingga menerima 13,000 retweet.

Rozailah berkata, dia hanya bergurau memarahi anaknya itu kerana baju yang dipakai Ainnur kotor.

“Tak sangka reaksi dia begitu sebab saya hanya bergurau memarahi dia. Mungkin dia tahu saya bukan benar-benar memarahinya, jadi dia pun mahu bergurau dengan saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, anak keduanya itu adalah seorang yang ceria dan petah bercakap.

“Dia memang banyak mulut. Dia suka tiru gaya orang lain, mungkin kerana dia biasa bergaul dengan orang dewasa.

“Dia rapat dengan ibu dan bapa saudaranya. Lagipun Ainnur dan kakaknya, Ainul Mardhiah Norman Tajree, 4, adalah cucu paling bongsu. Sebab itu mereka lebih diberi perhatian,” katanya.

Menurutnya, video berdurasi 38 saat itu dirakam atas permintaan keluarga Rozailah yang rindukan kanak-kanak terbabit.

“Sebenarnya, adik-beradik saya minta saya rakam video Ainnur kerana mereka rindukan Ainnur. Apabila saya kongsi video itu dalam kumpulan Whatsapp, kemudian adik saya memuatnaiknya di Twitter. Sejak itu, video Ainnur mula tular,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 11:00 PM