HENRY Cavill bertuah punya 5 adik-beradik lelaki saling melindungi
HENRY Cavill bertuah punya 5 adik-beradik lelaki saling melindungi
Ardini Sophia Sina


KARIER pelakon Henry Cavill semakin bersinar selepas tampil dengan watak Superman menerusi filem Man Of Steel pada 2013.

Kejayaan filem itu membuka ruang lebih besar apabila menjayakan beberapa filem pecah panggung seperti Batman vs Superman, Justice League dan Mission Impossible : Fall Out.

Melihat pada bentuk badannya yang sasa, Cavill meletakkan dirinya dalam senarai pelakon yang memiliki kelebihan untuk membawakan sesuatu watak yang punya kekuatan luar biasa.

Menurut pelakon berusia 35 tahun itu, dia bertuah kerana bapa dan abangnya pernah bekerja sebagai tentera laut memberi inspirasi kepada dirinya untuk turut menjaga fizikal sama seperti mereka.

“Walaupun memiliki tubuh yang sesuai untuk menyertai anggota tentera, saya memilih untuk menyertai bidang lakonan. Saya bertuah kerana mempunyai keluarga yang saling menyokong dalam apa jua bidang diceburi.

“Melihat bapa dan abang yang mempunyai tubuh sasa membuatkan saya turut mengikut mereka bersenam. Ia bukan sekadar untuk fizikal, tetapi juga terus mengukuhkan ikatan kekeluargaan,” kata anak keempat daripada lima adik-beradik itu.

Membesar dalam kalangan adik-beradik yang semuanya lelaki membuatkan dia menjadi seorang yang kuat.

Bergaduh adalah perkara biasa, namun pada masa sama saling melindungi andai ada perkara buruk berlaku.

Begitu juga dengan ibunya yang sering memberikan teguran jika dia melakukan kesilapan dan memuji sekiranya Cavill melakukan sesuatu yang baik.

Ibunya tidak pernah berkompromi dengan kesalahannya serta adik-beradik lain.

“Mungkin ramai yang berpendapat membesarkan lima anak lelaki bukannya mudah. Budak lelaki lebih lasak dan jika bergaduh mungkin agak teruk jika dibandingkan dengan adik-beradik perempuan.

“Bagaimanapun, ibu mengajar kami dengan baik. Dia memuji tindakan baik, tetapi menegur dan memarahi kami jika buat salah. Ibu sama sekali tidak menyebelahi sesiapa pun dalam pergaduhan.

“Jadi, kami menjadi sangat rapat. Walaupun bergaduh, kami juga saling melindungi. Keluarga adalah harta paling berharga dan tidak dapat ditukar ganti,” katanya.

Menurut Cavill, ibunya yang pernah bekerja sebagai pegawai bank merasakan tugasnya membesarkan lima anak lelaki lebih mencabar berbanding urusan di pejabat.

Menjadi satu-satunya anggota keluarga yang menceburi bidang seni, Cavill mengakui tidak ada keinginan untuk mengikut jejak adik-beradik lain untuk bekerja di dalam pejabat.

“Buat masa ini, saya tidak rasa pekerjaan dalam pejabat itu sesuai untuk saya. Saya melihat adik-beradik yang menikmati pekerjaan mereka sekarang dan sememangnya ia perkara menarik kerana melakukan hal yang sama setiap hari.

“Bagaimanapun, pengalaman yang saya dapat iaitu peluang membawakan pelbagai watak dan pekerjaan itu adalah kenangan yang berharga. Oleh itu, saya memilih untuk teruskan karier sebagai pelakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 8:00 AM