myMetro

Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) tidak berdepan masalah untuk memenangi pusingan pertama Terbuka Macau apabila menumpaskan Lee Hock Lai dari Amerika Syarikat semalam.

Iskandar mengambil masa 29 minit sebelum menang 21-17, 21-19 dan akan berdepan pemain Hong Kong, Vincent Wong pilihan kelima kejohanan yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Turut mara pemain profesional, Liew Daren yang mengalahkan Lee Chak Wai dari Hong Kong 25-23, 19-21, 21-15 dan menantinya di pusingan kedua ialah seorang lagi pemain Hong Kong, Wei Nan.

“Secara keseluruhan saya bermain dengan baik hari ini (semalam), cuma di set pertama saya terlalu santai selepas berjaya meninggalkan lawan dengan perbezaan mata yang jauh. Di set kedua saya kurang fokus sebelum berjaya mendapat rentak kembali di set penentuan,” kata Daren.

Chong Wei Feng juga turut mara selepas mengalahkan pemain Indonesia, Evert Sukamta 21-17, 21-12 dan Tan Chun Seang pula menyingkirkan wakil tuan rumah, Ao Fei Long apabila menang 21-14, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 8:21 AM