AKSI Soon Huat-Shevon ketika menentang pasangan Belanda. FOTO BAM
AKSI Soon Huat-Shevon ketika menentang pasangan Belanda. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Hylo di Jerman selepas mengalahkan pasangan Belanda, Ruben Jille-Cheryl Seinen di Saarbrucken sebentar tadi.

Mereka mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-15 dan bakal berdepan wakil Denmark, Niclas Nohr-Amalie Magelund. Pasangan berkenaan mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan B Sumeeth Reddy-Ashwini Ponnappa dari India 21-12, 21-13.

Sementara itu satu lagi pasangan beregu campuran profesional negara yang juga pilihan keempat kejohanan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kalah mengejut kepada Mikkel Mikkelsen-Rikke Soby dari Denmark.

Walaupun berjaya bangkit di set kedua namun pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa akur dengan kekalahan 20-22, 21-15, 16-21. Nasib sama menimpa perseorangan lelaki profesional, Liew Daren apabila tumpas di tangan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dalam aksi straight set. Cheuk Yiu yang juga pilihan ketujuh mengambil masa 43 minit untuk mengalahkan Daren, 21-17, 22-20.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 9:59 PM