ACRYL Sani (tiga dari kiri) menunjukkan cakera padat yang dirampas.
ACRYL Sani (tiga dari kiri) menunjukkan cakera padat yang dirampas.
HM Digital

Sindiket pengedaran cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak masih belum berkubur seperti disangka.

Ini terbukti apabila lima dalang sindiket itu ditahan dalam serbuan berasingan di lima lokasi sekitar Selangor dan Lembah Klang, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis merampas 100,688 keping VCD dan DVD cetak rompak serta 23 mesin salinan dengan nilai semua rampasan lebih RM1 juta.

Menurutnya, suspek berusia 35 hingga 48 tahun itu mempunyai peranan masing-masing dalam sindiket yang memasarkan DVD cetak rompak di sekitar Lembah Klang, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Siasatan mendapati sindiket ini menghasilkan 1,000 keping VCD/DVD sehari dan menjualnya pada harga RM8 sekeping dan RM20 untuk DVD Blue Ray.

“Sindiket ini mendapatkan bekalan VCD/DVD kosong daripada syarikat pembekal dan memprosesnya tanpa Sijil B di sebuah rumah teres di ibu kota. VCD dan DVD yang siap diproses akan disimpan di beberapa rumah yang dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke kedai menjual VCD dan DVD serta peniaga pasar malam.

“Penghantaran VCD/DVD ini mengikut permintaan pelanggan dengan pembayaran dilakukan dalam talian dan serahan tangan manakala penghantaran dibuat melalui syarikat penghantaran,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK, di sini, semalam.

Acryl berkata, kegiatan pengedaran dan penjualan DVD/VCD tanpa Sijil B ini walaupun semakin berkurangan tetapi masih berleluasa kerana ia tidak dilakukan secara terang-terangan.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, polis turut merampas lima telefon pintar pelbagai jenama milik suspek.

“Suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki VCD/DVD yang tidak mempunyai Sijil B, Seksyen 11(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:40 AM