Menjadi seorang daripada teraju program Running Man, ketiadaan bintang hip-hop, Kang Gary sewaktu konsert jelajah mereka, baru-baru ini jelas membuatkan ramai peminat kecewa. Hanya lima yang turun menjayakan konsert itu, semuanya gara-gara percanggahan jadual membuatkan dia tidak ikut serta.

Turut cukup digilai di Hong Kong, penyanyi daripada kumpulan duo, Leessang itu akhirnya menunaikan impian peminat di sana untuk bertemunya. Menerusi satu sesi bertemu peminat di Tseun Wan Plaza, Hong Kong, pada 27 Disember ini, kunjungannya pasti dinantikan peminat di sana.

Sebelum ini, Kang Gary atau nama sebenarnya Kang Hee Gun berkunjung ke Hong Kong pada September lalu dan kehadirannya memang tidak sia-sia apabila tiket persembahannya laris.

Bagaimanapun, pastinya peminat mahu melihat gabungannya dengan hos lain Running Man menerusi konsert besar berkenaan yang turut berkunjung ke Hong Kong, Malaysia, Thailand dan Singapura.

Pada konsert berkenaan, hos lain termasuklah Ha Ha, Lee Kwang Soo, Song Ji Hyo dan Kim Jong Kook sempat memberi kejutan kepada penonton dengan memakai topeng wajah Kang Gary selain menyanyikan lagu popularnya.

Berjanji untuk kembali menemui peminat di sana, nampaknya Kang Gary benar-benar mengotakan janjinya itu. Pada sesi berkenaan, peminat berpeluang berinteraksi secara dekat dengan penyanyi itu dan bukan sekadar mendengar nyanyiannya semata-mata.

Dari segi kejayaan, dia boleh dikatakan serba boleh kerana bukan saja seorang rapper tetapi juga pencipta lagu, penulis lirik, personaliti TV dan pengusaha restoran di Korea. Sejak menjadi artis, sudah beberapa kali Kang Gary memenangi anugerah bagi kategori artis hip-hop terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:00 AM