HOS Running Man bakal gamatkan Kuala Lumpur, 1 November ini.
HOS Running Man bakal gamatkan Kuala Lumpur, 1 November ini.
Oleh Georgie Joseph

Hanya mengira hari, pastinya peminat tegar rancangan popular dari Korea Selatan iaitu Running Man sudah tidak sabar bertemu empat hos program itu Jee Seok Jin, Kim Jong Kook, Song Ji Hyo dan Ha Ha yang bakal bertandang ke Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Mengadakan siri jelajah di sekitar Asia, Malaysia tidak ketinggalan menjadi lokasi persinggahan mereka bersempena konsert Running Man Fan Meeting Asia Tour 2014 'RACE START! yang akan berlangsung di Stadium Negara, jam 6.30 petang, 1 November nanti.

Nyata cukup mendapat sambutan selepas pembelian tiket dibuka tidak lama dulu, tentu sekali persoalannya adakah berbaloi menonton konsert itu? Ataupun, mampukah empat selebriti itu menghangatkan suasana seperti mana keletah mereka di setiap episod Running Man?

Merasai sendiri keha­ngatan konsert itu yang diadakan baru-baru ini di Hong Kong, penulis boleh merangkumkan keseluruhan konsert sangat berbaloi sekali gus menjawab persoalan itu.

Mana tidaknya, sejak diterbitkan beberapa tahu g lalu, Running Man tidak pernah mengecewakan apabila sering tampil de­ngan pelbagai alternatif baru dalam setiap episodnya. Gara-gara itulah juga program itu masih jadi ikutan sehingga kini bahkan meng­gumpul lebih ramai pe­ngikut.

Pada konsert di Hong Kong, ternyata rata-rata penonton yang hadir pulang tersenyum apalagi ramai bertuah dapat mendekati sendiri hos berkenaan di pentas. Tidak mahu melepaskan peluang, mereka turut memeluk satu-persatu selebriti terbabit sebagai tanda sangat gembira akhirnya impian bertemu hos kesayangan itu jadi kenyataan.

Bukan saja sekadar tampil dengan keletah mereka melunaskan pelbagai permainan yang tentu sekali bikin pecah perut, penonton juga turut dihiburkan dengan nyanyian mereka. Yang pasti, sesi itu cukup intim apatah lagi hos terbabit masing-masing begitu 'sporting'.

Paling istimewa, banyak kejutan spontan juga pastinya bakal tidak dijang­ka penonton di sini kelak maklum saja mengenali setiap hos itu, ada-ada saja yang mereka lakukan. Semestinya, perkara yang 'gila' dan bakal membuatkan penonton teruja!

Tidak kurang hebat­nya, menerusi persembahan nyanyian boleh dikatakan segmen itu pasti menggamit penonton juga kelak di mana terlihat kesungguhan mereka menyanyi sebaik mungkin demi menghiburkan peminat. Meskipun bukan semuanya mampu menyanyi dengan baik tapi usaha mereka perlu dipuji.

Tahun lalu, tiga hos program berkenaan pernah bertandang ke sini iaitu Jong Kook, Lee Kwang Soo dan Kang Gary. Jika masih ingat persembahan mereka tahun lalu yang sememangnya sudah cukup gempak, gabungan empat hos berkenaan lebih menghiburkan.

Masih dibuka, tiket berharga RM729 (VIP), RM499 (CAT 1), RM429 (CAT 2), RM299 (CAT 3) dan RM199 (CAT 4) boleh dibeli menerusi Ticket Charge dengan menghubungi 03-9222 8111.

Disiarkan menerusi saluran One HD (Astro 393) sejak tiga tahun lalu, Running Man ternyata mencetuskan impak tersendiri apabila menjadi program kegemaran Asia sehingga saat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:00 AM