RAKAN, peminat terkejut baca kenyataan dimuat naik ke Instagram.
RAKAN, peminat terkejut baca kenyataan dimuat naik ke Instagram.
Amirul Haswendy Ashari


Kumpulan hip hop duo Leessang dianggotai Gil dan Gary Kang berkemungkinan besar sudah bubar. Ia susulan satu laporan mengatakan mereka bergerak berasingan selepas menubuhkan label sendiri.

Mereka mendakwa, dalam tempoh itu kebanyakan pekerja di syarikat Leessang juga meletak jawatan masing-masing.

Maklum balas kepada laporan itu, sumber daripada bekas pekerja Leessang mendedahkan, walaupun pekerja meletak jawatan, syarikat itu masih beroperasi seperti biasa.

Menurut sumber, Leessang mungkin terus bekerjasama tetapi tidak pasti sama ada mereka sudah bubar atau tidak.

Pada masa ini, Gil dan Gary bekerja bersendirian mengurus label masing-masing iaitu Magic Mansion dan Yangbans Nation.

Dalam pada itu, Gary baru saja mengumumkan berita baik tapi mengejutkan mengenai perkahwinannya.

Difahamkan, rakan dalam program popular Running Man juga tidak tahu mengenai Gary akan berkahwin sebelum ini.

Gary atau Kang Hee Gun, 39, secara rasmi berkahwin minggu lalu. Pengumuman itu dilakukan di laman sosial Instagram miliknya.

Lebih mengejutkan, isterinya bukan Song Ji Hyo, rakan artis yang sering digandingkan bersama dalam beberapa episod Running Man sebelum ini.

“Saya berkahwin dengan seseorang yang saya sangat cintai hari ini. Tiada majlis rasmi tapi kami berdua menjadi pasangan suami isteri melalui cara kami sendiri.

“Isteri saya bukan seorang selebriti yang berjaya mengejutkan jiwa saya buat seketika. Biarpun ada yang terkejut dengan berita perkahwinan saya ini, saya harap kalian dapat merestui masa depan kami dengan hati gembira.

“Saya akan hidup bahagia dan gembira untuk sepanjang hayat. Kami sudah mengikat kontrak bersama untuk 1,000 tahun,” katanya.

Pada ruangan komen dihujani dengan ayat kejutan daripada peminat dan rakan selebriti. Malah ada juga peminat yang tidak dapat menerima hakikat perkahwinan itu.

Ada antara mereka menganggap pengumuman itu sekadar gurauan April Fool atau drama yang dicetuskan Gary.

Agensi mewakili Gary sendiri dalam satu kenyataan berkata, pihak mereka juga tidak mengetahui mengenai berita Gary sudah berkahwin.

Mereka juga tahu mengenainya selepas Gary memuat naik status itu ke laman sosial dan mengakui tidak ada sebarang maklumat yang boleh dikongsikan mengenai berita mengejutkan itu.

Imbas kembali, Gary menyertai program Running Man pada 2010 dan menjadi antara selebriti paling popular yang menyertai program itu selama tujuh tahun.

Bagaimanapun, Gary membuat keputusan meninggalkan Running Man penghujung tahun lalu dengan alasan untuk fokus pada muzik.

Dia pernah melalui episod kontroversi selepas muncul dengan EP Mr Gae pada 2014 yang diharamkan daripada siaran TV kerana mempunyai kandungan lirik yang tidak bersesuaian.

Dia juga pernah dicalonkan untuk Persembahan Rap Terbaik di Anugerah Muzik Mnet Asian pada 2016 melalui lagu Lonely Night bersama Gaeko daripada Dynamic Duo.

Bagi peminat di Malaysia, Gary dilaporkan akan mengadakan konsert solo pertama di Malaysia pada 21 Mei di KL Live.

Kali pertama rapper itu melawat Malaysia apabila diundang sebagai tetamu khas ketika acara Matta Fair yang menyaksikan ribuan peminat selebriti itu membanjiri Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 5:07 AM