KWANG Soo sah sertai konsert Running Man
KWANG Soo sah sertai konsert Running Man
Oleh Georgie Joseph

Dalam program realiti popular Korea Selatan iaitu Running Man, dia digelar zirafah kerana ketinggiannya.

Namun, siapa boleh menafikan pesona tersendiri Lee Kwang Soo menghiasi setiap episod program itu? Dia adalah antara penyeri utama yang sering dinantikan kelibatnya terutama bagi peminat tegar jejaka berkenaan.

Pastinya pengumuman awal bahawa dia tidak akan menyertai empat rakannya iaitu Jee Seok Jin, Kim Jong Kook, Song Ji Hyo dan Ha Ha dalam persembahan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 1 November ini mengecewakan peminatnya.

Mana tidaknya, sepanjang jelajah mereka ke lokasi lain di sekitar Asia, kelima-limanya sentiasa bersama.

Bagaimanapun, peminat Kwang Soo tidak perlu kecewa lagi kerana dia akhirnya mengesahkan akan turut hadir untuk konsert mereka di sini.

Pasti peminat di Malaysia tidak sabar lagi untuk bersua secara dekat dengan pengacara Running Man ini dalam konsert yang diberi nama Running Man Fan Meeting Asia Tour 2014 'RACE START! itu.

Apa lagi selama ini hanya sekadar menyaksikan mereka di kaca TV, tentu bergetar hati masing-masing mahu melihat mereka secara langsung pula.

Merasai sendiri kehangatan konsert itu yang diadakan baru-baru ini di Hong Kong, penulis boleh merangkumkan keseluruhan konsert sangat berbaloi.

Mana tidaknya, sejak diterbitkan beberapa tahun lalu, Running Man tidak pernah mengecewakan apabila sering tampil dengan pelbagai alternatif baru dalam setiap episodnya.

Disebabkan itulah juga program itu masih jadi ikutan sehingga kini bahkan mengumpul lebih ramai pengikut.

Ketika konsert di Hong Kong, rata-rata penonton yang hadir pulang dengan senyuman apa lagi ramai bertuah dapat mendekati sendiri hos berkenaan di pentas. Tidak mahu melepaskan peluang, mereka turut memeluk satu-persatu selebriti terbabit sebagai tanda sangat gembira akhirnya impian bertemu hos kesayangan itu jadi kenyataan.

Bukan saja tampil dengan keletah mereka melunaskan pelbagai permainan yang tentu sekali bikin pecah perut, penonton juga turut dihiburkan dengan nyanyian mereka.

Yang pasti, sesi itu cukup intim apatah lagi hos terbabit masing-masing begitu 'sporting' manakala Kwang Soo sendiri menghangatkan suasana dengan aksi spontannya termasuklah memakai baju wanita.

Paling istimewa, banyak kejutan spontan juga pastinya bakal tidak dijangka penonton di sini kelak maklum saja mengenali setiap hos itu, ada-ada saja yang mereka lakukan. Semestinya, perkara yang 'gila' dan bakal membuatkan penonton teruja!

Tidak kurang hebat, menerusi persembahan nyanyian boleh dikatakan segmen itu pasti menggamit penonton juga kelak di mana terlihat kesungguhan mereka menyanyi sebaik mungkin demi menghiburkan peminat.

Meskipun bukan semuanya mampu menyanyi dengan baik tapi usaha mereka perlu dipuji.

Tahun lalu, tiga hos program berkenaan pernah bertandang ke sini iaitu Jong Kook, Kwang Soo dan Kang Gary. Jika masih ingat persembahan mereka tahun lalu yang sememangnya sudah cukup 'gempak', gabungan empat hos berkenaan lebih menghiburkan.

Masih dibuka, tiket berharga RM729 (VIP), RM499 (CAT 1), RM429 (CAT 2), RM299 (CAT 3) dan RM199 (CAT 4) boleh dibeli menerusi Ticket Charge dengan menghubungi 03-9222 8111.

Disiarkan menerusi saluran One HD (Astro 393) sejak tiga tahun lalu, Running Man ternyata mencetuskan impak tersendiri apabila menjadi program kegemaran Asia sehingga saat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:01 AM