POLIS mengawal penunjuk perasaan yang menghalang lalu lintas di Minnesota. - AFP
POLIS mengawal penunjuk perasaan yang menghalang lalu lintas di Minnesota. - AFP
TRUMP (kiri) dan Presiden Barack Obama berjabat tangan selepas perjumpaan di Rumah Putih, lewat kelmarin. - EPA
TRUMP (kiri) dan Presiden Barack Obama berjabat tangan selepas perjumpaan di Rumah Putih, lewat kelmarin. - EPA
Agensi

Washington: Amerika Syarikat dilaporkan melihat peningkatan jenayah kebencian terutama membabitkan orang Islam dan Amerika Latin (Latino) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kemenangan bakal presiden, Donald Trump.

Berita kejadian menyasarkan orang Islam, Latino dan Afrika Amerika tersebar luas di media sosial selain dilaporkan kepada polis.

Pelajar Islam di kampus universiti di seluruh negara melaporkan pelbagai kejadian termasuk seorang gadis berhijab di Universiti San Diego mendakwa diserang dua lelaki yang menghentikan kenderaan di sebelah keretanya sebelum keluar membuat kenyataan menghina Muslim dan merompaknya.

Dua suspek itu dilaporkan merampas kunci kereta mangsa, beg galas dan dompetnya sebelum melarikan keretanya.

Selain itu, di Louisiana pelajar wanita Universiti Louisiana berusia 18 tahun yang bertudung juga melaporkan diserang dua lelaki dengan seorang daripadanya memakai topi tertulis ‘Trump.’

Wanita itu turut mendakwa dipukul menggunakan objek besi sebelum mereka melarikan dompet dan tudungnya.

Penyerangnya turut dilaporkan mengherdik kata-kata berunsur perkauman sepanjang kejadian.

Belum ada suspek ditangkap tetapi pihak universiti memaklumkan pelajarnya mengenai kejadian itu dengan amaran supaya mereka berhati-hati.

Sementara itu, felo kanan di Pusat Perundangan Southern Poverty, Mark Potok yang memantau jenayah kebencian berkata, dia melihat peningkatan mendadak kejadian seumpama itu termasuk serangan terhadap wanita bertudung dan lebih banyak grafiti berbaur perkauman.

Katanya, talian bantuan pencegahan bunuh diri turut melihat peningkatan pemanggil.

“Saya percaya ini akibat kemenangan Trump. Kehadirannya umpama membuka semua isu yang selama ini terpendam,” katanya.

Wanita Islam meluahkan di Twitter bahawa ramai mempertimbangkan tidak bertudung buat sementara waktu untuk mengelak disasarkan.

Twitter turut menunjukkan perbalahan di sekolah tinggi di seluruh negara apabila pelajar menceritakan pengalaman dihina dan dibuli.

Antaranya, pelajar Afrika Amerika digelar pengutip kapas - merujuk sejarah penghambaan golongan itu - dan golongan Latino disuruh meninggalkan AS.

Minggu lalu, seorang pengetua sekolah di Pennsylvania mengadakan perhimpunan khas susulan laporan berlaku pembulian pelajar menggunakan kata-kata menghina dan tabik ala Hitler.

Sementara itu, talian bantuan untuk golongan transgender bermasalah, Trans Lifeline turut menerima lambakan panggilan mengadu penindasan selepas kemenangan Trump.

Lewat Khamis (waktu tempatan) lalu, Presiden Barack Obama menemui Trump selama 90 minit di Rumah Putih yang dilihat bertujuan memberi keyakinan terhadap rakyat Amerika.

Dalam pada bantahan di seluruh AS, Obama dan Trump berjanji memastikan proses penyerahan kuasa berjalan secara lancar.

Obama menyifatkan pertemuan itu sebagai perbincangan yang baik malah dia dan Trump juga nampak selesa berbual bersama.

“Apa yang paling penting sekarang adalah kita perlu mengetepikan isu parti dan pandangan politik sebaliknya mesti bekerja sama untuk mengatasi pelbagai cabaran yang mendatang,” kata Obama.

Trump yang membuang seketika imej mulut lancangnya pula berkata: “Saya berbesar hati menemui Obama. Dia lelaki yang baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:07 AM