PELAJAR sekolah menengah dan kolej berhimpun di depan Dewan Bandar Raya  Homestead. - AFP
PELAJAR sekolah menengah dan kolej berhimpun di depan Dewan Bandar Raya Homestead. - AFP
AP

San Diego (Amerika Syarikat): Pelajar kolej di kampus seluruh Amerika Syarikat (AS) mengadakan perarakan dan berhimpun untuk mendesak pentadbiran kampus mereka melindungi pelajar serta tenaga kerja daripada dikenakan tindakan imigresen di bawah kepemimpinan bakal presiden Donald Trump.

Penganjur perhimpunan itu berkata, perarakan dirancang di lebih 80 sekolah termasuk Kolej Middlebury di Vermont, di mana 400 orang berkumpul dan Universiti Yale yang mencatat kehadiran lebih 600 orang.

Pelajar berarak mendesak jaminan pentadbiran institusi pengajian mereka tidak akan berkongsi maklumat peribadi dengan pegawai imigresen atau membenarkan ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) berada di kampus.

“Bayangkan ketakutan yang membelenggu pelajar dan pekerja jika ejen ICE berkeliaran di dalam kampus.

“Memanglah ramai orang mempunyai pandangan berbeza, tetapi apa yang penting adalah kampus kolej serta universiti mempunyai tanggungjawab dari segi moral untuk memastikan pelajarnya yang membayar tuisyen dan mengejar pendidikan terus selamat,” kata penganjur kumpulan Movimiento Cosecha, Carlos Rojas.

Perarakan itu lanjutan bantahan yang tercetus di bandar dan kampus berikutan kemenangan Trump, minggu lalu. Sepanjang kempennya, calon Parti Republikan itu antara lain berikrar mengusir jutaan orang yang menetap di negara itu secara haram.

“Saya amat bimbang. Kami tidak tahu apa yang Trump akan buat. Saya bimbang dia meminta maklumat peribadi kami. Saya berharap pentadbiran kampus menyokong kami,” kata Miriam Zamudio yang berhijrah ke AS dari Mexico bersama ibu bapanya ketika kecil.

Dia bimbang maklumat keluarganya yang digunakan untuk memohon Penangguhan Tindakan bagi Pendatang Kanak-kanak (DACA) akan membahayakan ibu bapanya yang tinggal di negara itu secara haram.

DACA polisi imigresen diperkenalkan Presiden Barack Obama membolehkan pendatang yang memasuki AS sebelum ulang tahun ke-16 dan sebelum Jun 2007 diberi permit kerja dan pengecualian daripada diusir.

Kakitangan universiti menandatangani petisyen meminta kampus mereka dijadikan tempat perlindungan untuk golongan diancam pengusiran atau diskriminasi.

Ratusan pelajar sekolah menengah dan kolej berarak di depan bangunan persekutuan di pusat bandar San Diego membantah kemenangan Trump. Ada memegang sepanduk berbunyi ‘Kami bukan penjenayah.’

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 9:44 AM