Reuters

Washington: Calon Parti Republikan untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menggunakan kejadian pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah negara itu secara agresif untuk memperhebat kempennya.

Dia juga mendesak Presiden Barack Obama meletak jawatan dan calon Demokrat, Hillary Clinton menarik diri daripada pilihan raya presiden.

Bagi Trump, ia sekadar satu cubaan menggunakan kejadian di Orlando kelmarin untuk meningkatkan kempennya pada pilihan raya presiden pada 8 November depan.

Trump menyelar Obama kerana enggan menyebut Daish dan kumpulan pelampau lain sebagai mewakili pendirian agama Islam.

“Dalam ucapannya, Obama enggan menggunakan langsung perkataan ‘Islam radikal.’ Atas alasan itu saja dia sepatutnya meletak jawatan.

“Jika Hillary juga tidak mampu berkata ‘Islam agama radikal’ dia sepatutnya berundur daripada pilihan raya presiden,” kata Trump.

Awal Ahad lalu, ketika fakta mengenai kejadian itu masih samar, Trump menulis di Twitter bahawa ia membuktikan amarannya terhadap ‘pengganas Islam’ selama ini memang benar.

Dalam tweet yang dibuat hanya beberapa jam selepas kejadian itu, Trump berkata: “Terima kasih atas ucapan tahniah kerana ramalan saya mengenai pengganas Islam radikal begitu tepat. Saya bukan mahukan ucapan tahniah, saya mahu ketegasan dan kewaspadaan.”

Trump menjadikan isu menangani ancaman kumpulan pelampau seperti Daish sebagai isu utama dalam kempennya.

Serangan di San Bernardino, California, yang membunuh 14 orang pada Disember lalu digunakan Trump untuk melarang orang Islam memasuki AS.

Dia sekali lagi mengulangi kenyataan itu susulan serangan di kelab malam gay di Orlando, Florida, yang menyebabkan 50 orang, termasuk penyerangnya, terbunuh.

“Apa yang berlaku di Orlando cuma permulaan. Kepemimpinan kita lemah dan tidak berkesan. Kita perlu tegas mengawasi masjid,” katanya di Twitter.

Dalam kenyataannya itu, Trump terus menuding jari ke arah ‘pengganas Islam’ sebagai bertanggungjawab walaupun pihak berkuasa belum membuat sebarang kesimpulan.

Penembak terbabit, penduduk tempatan Omar Mateen, 29, dibunuh polis dalam kejadian itu.

Pihak berkuasa berkata, dia menghubungi polis pada pagi berkenaan dan membuat kenyataan menyokong Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 10:27 AM