Lim maut di tempat kejadian. FOTO ihsan PDRM
Lim maut di tempat kejadian. FOTO ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Penunggang motosikal, 35, maut selepas merempuh belakang treler di kilometer 150. 6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, 5 pagi tadi.

Mangsa, Lim Hang Seah, maut di tempat kejadian selepas merempuh belakang treler sarat muatan tiang cerucuk konkrit yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, treler berkenaan berhenti di laluan kecemasan lebuh raya kerana kehabisan minyak.

"Ketika pemandu treler sedang meletakkan segitiga kecemasan di belakang treler, mangsa secara tiba-tiba merempuh belakang kenderaan berat berkenaan.

"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan yang tiba sejurus dimaklumkan," katanya di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 1:28 PM