MANGSA yang maut ketika menukar tayar van yang pancit. (gambar kecil) Tayar treler yang mengenai mangsa. FOTO IHSAN PEMBACA
MANGSA yang maut ketika menukar tayar van yang pancit. (gambar kecil) Tayar treler yang mengenai mangsa. FOTO IHSAN PEMBACA
Shamsul Munir Safini


SEORANG pemandu van kilang maut selepas terkena tayar treler yang tercabut di Kilometer 156.1 Lebuh Raya PLUS arah utara, berhampiran Jawi, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Hawazi Ismail, 47, mati serta merta di lokasi kejadian akibat parah di dada, kaki dan tangan.

Ketika kejadian, mangsa sedang menukar tayar van dipandunya yang pancit di lorong kecemasan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, siasatan mendapati van kilang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Jawi ke Batu Kawan.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa berhenti di lorong kecemasan untuk menukar tayar belakang sebelah kanan van yang pancit.

“Mangsa memasang isyarat segi tiga kecemasan di bahagian belakang van sebelum tiba-tiba sebiji tayar daripada treler dipandu lelaki berusia 38 tahun tercabut lalu bergolek mengenai mangsa,” katanya.

Beliau berkata, ekoran kemalangan itu, mangsa cedera di dada, kaki dan patah tangan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Shafee berkata, mayat pemandu van kilang itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil bagi memberi keterangan berkaitan kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 2:30 PM