FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun di Mahkamah Sesyen tadi terhadap lima tuduhan menggunakan wang palsu RM8,400 untuk membeli telefon pintar.

Hakim Mohd Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohamad Firdauded Mohd Pauzi, 26,mengaku bersalah terhadap semua tuduhan.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman berjalan dari tarikh ditangkap pada 5 September 2016.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan wang tunai palsu dalam urusan jual beli Iphone 5; 5S; 6; 6S dan 6 Plus di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan di hadapan sebuah sekolah di Jalan Tok Guru, di sini antara 27 Januari hingga 17 Julai 2016.

Lima dakwaan tersebut dijalankan berasingan masing-masing mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fahrul Razi Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nuri Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 2:30 PM