Johor Bahru: Wanita yang ditemui lemas akibat terjatuh ke dalam longkang, hari ini, adalah warga Singapura.

Wanita itu terjatuh ke dalam longkang selepas motosikal ditunggangi terbabit dengan kemalangan dekat Flat Seri Stulang, di sinim pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh, berkata mendiang Wee Chui Lee, 40, bekerja sebagai polis bantuan.

Menurutnya, mendiang didapati masih memakai pakaian seragam ketika ditemui di tepi Sungai Tebrau, kira-kira 11 pagi ini.

“Mayat mangsa telah dicam oleh abangnya bernama Wee Liang Foo di lokasi mayat dijumpai.

“Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Sulaiman berkata, seorang saksi memaklumkan dia melihat kenderaan mangsa berlanggar dengan motosikal lain yang belum dikenalpasti.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan motosikal terbabas dan mendiang terjatuh ke dalam longkang.

Mangsa selepas itu dipercayai dihanyutkan arus deras akibat hujan lebat.

Sulaiman menggesa penunggang motosikal yang terlibat agar tampil membuat laporan polis.

Saksi-saksi lain kejadian pula diminta menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Kamarul Azizee di talian 013-9711793 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2218999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 10:48 PM