ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Kehilangan wanita berusia 40 tahun yang menjadi tanda tanya pengguna laman sosial sejak Khamis lalu selepas berkongsi status kemalangan membabitkan wanita itu berakhir apabila mayatnya ditemui di tebing Sungai Tebrau, dekat sini, semalam.

Penemuan mayat Wee Chui Lee merungkai misteri kehilangan memasuki hari ketiga semalam selepas usaha menjejakinya di lokasi kehilangan di dalam longkang di Flat Seri Stulang, dekat sini, oleh bomba dan penyelamat berakhir jam 11 pagi.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan 2, Kamarulzaman Salleh berkata, penemuan mayat mangsa selepas usaha mencari dilakukan bersama 19 anggota termasuk sembilan anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) disambung jam 9 pagi semalam.

“Ketika operasi dilakukan, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan berpakaian baju dan seluar panjang hitam.

“Usaha mengangkat mangsa dilakukan sepasukan anggota sebelum diserahkan kepada polis,” katanya sambil menambah operasi dihentikan jam 12 tengah hari semalam.

Terdahulu, penemuan topi keledar dan kad pengenalan membuka tirai pencarian pihak berkuasa dalam menjejaki seorang wanita berusia 40 tahun selepas dia dipercayai terjatuh dalam longkang sejurus terbabit dalam kemalangan berdekatan Flat Seri Stulang, di sini, Khamis lalu.

Tragedi malang membabitkan mangsa Wee dikongsikan orang awam melalui laman sosial dengan memperincikan mengenai kehilangan wanita dipercayai terjatuh ketika melalui kawasan berdekatan kawasan berkenaan.

Viral yang ditulis dalam bahasa Mandarin itu memberikan catatan ringkas ‘seorang penunggang motosikal terbabit kemalangan dan terjatuh ke dalam longkang sebelum hilang jam 6.30 pagi itu dengan disertakan gambar motosikal.’

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, usaha menjejaki mangsa digerakkan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Katanya, polis menyangkal dakwaan tiada usaha dilakukan pihak berkuasa dalam mencari dan menyelamat mangsa dipercayai hilang itu.

Pada masa sama, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ibrahim Omar menggerakkan sebuah jentera bersama 14 anggota ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan jam 4.11 petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 8:53 AM