ANGGOTA bomba membantu mencari mangsa. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu mencari mangsa. FOTO ihsan Bomba
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pihak berkuasa termasuk polis dan bomba melakuan operasi mencari wanita dipercayai terjatuh dalam longkang sejurus terbabit kemalangan berdekatan Flat Seri Stulang di sini, semalam.

Tragedi malang membabitkan mangsa Wee Chui Lee, 40, dikongsikan orang awam melalui laman sosial dengan memperincikan mengenai kehilangan wanita dipercayai terjatuh ketika melalui lokasi berdekatan kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya berusaha menjejaki penunggang motosikal wanita itu selepas dipercayai terjatuh dalam longkang.

"Sebaik saja mendapat makumat, pihak polis dan bomba menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat dan usaha-usaha mencari dijalankan sehingga ke tahap ini, namun masih belum ada sebarang perkembangan terbaru," katanya ketika mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Pihak polis menyeru orang ramai atau saksi atau mangsa yang terbabit kemalangan tampil memberi kerjasama.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ibrahim Omar berkata, sebuah jentera bersama 14 anggota bomba dari balai berkenaan dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kehilangan wanita itu pada 4.11 petang tadi.

"Berdasarkan laporan awal mangsa hilang berdekatan Flat Seri Stulang dan berhadapan Petronas sebelum sebuah jentera keluar pada 4.12 petang dan tiba di lokasi sepuluh minit kemudian,” katanya.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba dan penyelamat menemui helmet dan kad pengenalan milik mangsa dipercayai terjatuh akibat kemalangan jalan raya.

Berikutan itu, satu operasi dilakukan dan mangsa dipercayai terjatuh dalam longkang dan lokasi pencarian akan diperluaskan ke Sungai Tebrau dan Jambatan Permas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:44 PM