LAGU Hello daripada Adele capai satu bilion tontonan dalam tempoh 87 hari!
LAGU Hello daripada Adele capai satu bilion tontonan dalam tempoh 87 hari!
Georgie Joseph


Platform YouTube memang menjadi saluran terpenting pada zaman ini untuk mencapai lebih ramai pengikut. Berdasarkan jumlah tontonan jugalah sesebuah video itu sangat berguna bagi mengaut keuntungan dan menjadi popular.

Baik artis baru, artis besar mahupun produksi, kewujudan YouTube menjadi medan terbaik serta terpantas menjual produk mereka. Semakin meningkat jumlah tontonan terhadap sesebuah video, semakin tinggilah profil artis berkenaan.

Seandainya ditilik, video muzik siapakah yang mendapat jumlah tontonan tertinggi di YouTube? Siapakah yang merajai takhta selama ini? BLING! memberikan jawapannya.

1 Psy - Gangnam Style (2.67 bilion tontonan)

Lagu ini memang benar-benar mencipta fenomena dan berjaya bukan sahaja nama penyanyi malah juga Korea Selatan di mata dunia.

Rentak lagu serta gaya tariannya ternyata menjadi viral dalam masa singkat dan terus diingati. Gangnam Style mula dimuat naik ke YouTube pada 15 Julai 2012 dan seterusnya memintas kedudukan lagu Baby (Justin Bieber) pada 24 November 2012. Video muzik lagu ini turut mencipta rekod sebagai video pertama mencapai satu bilion tontonan dalam tempoh tidak sampai enam bulan!

2 See You Again - Wiz Khalifa ft Charlie Puth (2.15 billion tontonan)

Penyebab utama lagu ini menerima sambutan luar biasa selepas ia menjadi lagu runut bunyi kepada filem penuh emosi, Furious 7.

Padahal, penyanyinya iaitu Charlie Puth adalah nama yang terlalu baru dan asing sewaktu kemunculannya.Bagaimanapun, lagu itu nyata berjaya menyentuh apalagi satu dunia sedang bersedih dengan pemergian mendiang Paul Walker yang maut akibat nahas jalan raya. See You Again yang dimuat naik pada 6 April 2015 menjadi video ke-10 yang berjaya mencapai tontonan lebih satu bilion dalam tempoh enam bulan saja.

3 Sorry - Justin Bieber (1.95 billion tontonan)

Banyak spekulasi timbul sebaik sahaja lagu ini dilancarkan. Rata-rata mendakwa lagu itu ada kaitan dengan kisah cinta Justin bersama bekas kekasih, Selena Gomez. Bagaimanapun, sejak kemunculannya,

Justin memang sentiasa mendapat perhatian bahkan masih kukuh kubu peminatnya hingga saat ini. Video yang dimuat naik pada 22 Oktober 2015 ini mencipta rekod tersendiri apabila menjadi video ke-22 mencapai tontonan lebih satu bilion. Video berkenaan hanya mengambil masa kurang lima bulan untuk mencapai angka hebatnya.

4 Uptown Funk - Mark Ronson ft Bruno Mars (1.94 billion)

Siapa boleh menidakkan kehebatan lagu ini yang disebabkan lagu inilah juga, Bruno Mars kembali dalam radar muzik pop sekalipun kali terakhir tampil dengan album pada 2012. Kredit perlu diberikan kepada produksi muzik video itu yang cukup membuatkan penonton rasa teruja.

Gerak tari yang dipersembahkan selain rentak lagunya memang benar-benar tidak membuatkan penonton bosan. Dimuat naik pada 19 November 2014, sehingga kini lagu berkenaan masih jadi kegilaan. Uptown Funk menjadi video kesembilan yang mencapai angka satu billion iaitu pada 15 September 2015.

5 Black Space - Taylor Swift (1.83 billion tontonan)

Tidak dinafikan sebaik sahaja penyanyi ini tampil dengan albumnya 1989, kejayaan demi kejayaan berganda tercetus. Bahan yang dimuatkan dalam album itu ternyata hebat-hebat belaka termasuk lagu Blank Space.

Banyak memasukkan elemen peribadinya dalam setiap lagu, Taylor juga seangkatan dengan Justin Bieber apabila peminat terlalu taasub terhadapnya. Jadi, itulah antara penyebab penting videonya sentiasa dinantikan. Walaupun tidaklah sepantas video lain mencapai angka satu billion tontonan, ia video keempat yang berjaya melepasi angka itu selepas dimuat naik pada 10 November 2014.

6 Hello - Adele (1.76 billion)

Lagu ini menjadi lagu yang paling dinanti-nantikan satu dunia selepas penyanyi British, Adele, berdiam bertahun-tahun lamanya. Jelas sekali, ungkapan Hello serta maksud lagu berkenaan terus jadi sama ada kegilaan atau bahan parodi.

Adele berjaya membuktikan video muziknya tidak perlu terlalu serabut atau menggunakan produksi besar-besaran demi tontonan. Lagu dan konsep minimalis sudah memadai untuk menarik perhatian.

Bukan saja unggul di carta hebat, lagu berkenaan juga mencipta rekod sendiri apabila menjadi video paling cepat mencapai angka satu bilion tontonan iaitu hanya dalam tempoh 87 hari!

7 Shake It Off - Taylor Swift (1.71 billion tontonan)

Sebuah lagi video lagu Taylor iaitu Shake If Off sememangnya tidak terlepas daripada kedudukan tertinggi tontonan setakat ini. Seperti lagu Blank Space, ia juga berjaya melepasi jumlah tonton satu bilion. Sangat ‘catchy’ dan menjadi siulan terutama golongan muda, lagu ini dimuat naik ke YouTube pada 18 Ogos 2014. Ia bagaimanapun mengambil masa selama 370 hari untuk mencapai angka berkenaan.

8 Lean On - Major Lazer & DJ Snake ft MO (1.7 billion tontonan)

Kes untuk lagu ini sememangnya agak istimewa disebabkan genre lagunya bukan pop pun. Ia lebih kepada lagu ‘dance’ yang sejujurnya memang sangat mudah untuk melekat di halwa telinga.

Dimuat naik pada 22 Mac 2015, tidak dinafikan lagu ini boleh dikategorikan sebagai lagu ‘berhantu’ dalam banyak-banyak lagu ‘dance’ yang pernah dicipta. Rentaknya menjadi kekuatan selain videonya cukup menarik kerana menonjolkan budaya India. Lean On menjadi video ke-16 yang berjaya melepasi angka satu bilion tontonan.

9 Bailando - Enrique Iglesias ft Descemer Bueno dan Gente de Zona

Lagu ini memang cukup istimewa kerana menjadi lagu kedua bukan berbahasa Inggeris berjaya mencapai rekod lebih satu bilion tontonan. Ia bahkan mengatasi jumlah tontonan versi Inggeris yang menampilkan Sean Paul.

Mungkin juga lagu ini lebih sedap dan cocok dengan bahasa asalnya Sepanyol yang membuatkan ramai sukakan versi asal. Namun, kredit terhadap penghasilan videonya juga perlu diberi dengan warna-warni budaya di sana jadi subjek. Bailando menjadi video keenam yang berjaya melepasi angka berkenaan selepas dimuat naik pada 11 April 2014.

10 Roar - Katy Perry (1.6 billion)

Agak mengejutkan untuk video ini yang dikira begitu gah produksinya cuma berada di tangga ke-10. Mungkin daripada segi kekuatan lagunya tidaklah boleh mengatasi lagu lain di atasnya. Katy Perry tidak dinafikan memang mempunyai jumlah peminat yang cukup hebat namun, dia tidaklah menjadi kegilaan budak-budak muda seperti yang berlaku kepada Justin Bieber dan Taylor Swift.

Muziknya yang lebih kepada mesej kedewasaan menjadi penyebab demografik peminatnya berpecah. Akan tetapi, dia tidak pernah gagal tampil dengan video yang cukup berwarna-warni seperti Roar sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 5:02 AM