HASIL kerja tangan Shafiq bertajuk ‘The Great Denier’.
HASIL kerja tangan Shafiq bertajuk ‘The Great Denier’.
ANTARA lukisan menarik dalam pameran solo Shafiq diberi nama ‘The Power Broker: Keeping the Wolves at Bay’.
ANTARA lukisan menarik dalam pameran solo Shafiq diberi nama ‘The Power Broker: Keeping the Wolves at Bay’.
SHAFIQ mengekalkan teknik penghasilan lukisan seperti karya sebelum ini dengan menggunakan medium akrilik di atas kanvas.
SHAFIQ mengekalkan teknik penghasilan lukisan seperti karya sebelum ini dengan menggunakan medium akrilik di atas kanvas.
SHAFIQ
SHAFIQ
Nor Hanisah Kamaruzaman


Pameran solo ‘Imperium’ menceritakan pengalaman dan perjalanan artis muda Shafiq Nordin, 25, dalam dunia seni.

Sebanyak 10 lukisannya dipamerkan di Galeri HOM Art Trans, Ampang, menggunakan medium akrilik di atas kain jut.

Walaupun mengekalkan teknik dan medium, karya Shafiq kali ini lebih menekankan figuratif sebagai fokus atau elemen utama.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus pengkhususan lukisan dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) UiTM itu berkata, ‘Imperium’ yang membawa maksud kuasa mutlak dalam bahasa Latin dipilih kerana menggambarkan perjalanan hidupnya sebagai anak seni.

“Imperium sesuai dengan karya ini kerana semuanya menceritakan kisah saya seperti dugaan untuk sampai ke tahap ini, rakan artis serta galeri.

“Setiap karya sangat bermakna kerana selama empat tahun sebagai artis, saya lalui pelbagai pengalaman termasuk menyertai pameran antarabangsa,” katanya.

Antara karya yang menarik perhatian dalam pameran itu berjudul ‘The Patriot Unmasked: Special Appreciation to Samsudin Wahab’.

Menurut Shafiq yang juga pemenang Malaysian Emerging Artist Award (MEAA) 2014, karya berkenaan paling dekat dengan dirinya kerana menceritakan bagaimana dia terdetik untuk menjadi artis.

“Saya minat menjadi artis ketika masih belajar lagi. Ketika membuat latihan praktikal bersama Samsudin, minda saya lebih terbuka kerana dapat melihat kehidupan sebenar seorang artis dan bagaimana mereka bertahan di dalam dunia seni.

“Saya banyak dapatkan nasihat daripada Samsudin dan menjadikan beliau sebagai sumber rujukan, seterusnya nekad ingin jadi artis sepertinya.

“Pastinya karya ini kegemaran saya kerana ia mengingatkan kembali detik permulaan ingin menjadi artis, sekali gus menjadi batu loncatan untuk terus berkarya,” katanya.

Katanya, pameran solo itu juga bertujuan memberi inspirasi kepada artis muda lain berani mengambil risiko dengan memilih bidang seni sebagai kerjaya.

“Yang penting kita perlu yakin dengan karya dihasilkan. Jika sudah hasilkan karya bagus tidak perlu risau mengenai faktor lain. Semua yang positif akan datang kepada kita,” katanya.

Pameran yang berlangsung sehingga 3 November itu terbuka kepada orang ramai dan masuk percuma.

INFO

IMPERIUM

• ARTIS: Shafiq Nordin

• JUMLAH KARYA: 10

• TARIKH: Sehingga 3 November

• MASA: 11 pagi hingga 6 petang

• LOKASI: HOM Art Trans, 6A Jalan Cempaka 16, Taman Cempaka 6800 Ampang, Selangor

• TELEFON: 012-373 6004 / 03-9268 7004

• WEB: www.homarttrans.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 11:04 AM