STEVEN Gerrad (tengah), Jordan Henderson (kanan) dan Lucas Leiva mahu ulang kejayaan musim lalu.
STEVEN Gerrad (tengah), Jordan Henderson (kanan) dan Lucas Leiva mahu ulang kejayaan musim lalu.
AFP

London: Liverpool berharap mencetus inspirasi daripada memori kemenangan besar 5-1 ke atas Arsenal musim lalu apabila kedua-dua pasukan meneruskan permusuhan pada aksi Liga Perdana di Anfield, malam esok.

Pasukan Arsene Wenger dibelasah teruk pada kunjungan terakhir ke stadium terkenal Liverpool itu Februari lalu, apabila empat gol dalam tempoh 20 minit pertama menenggelamkan cabaran kelab utara London itu.

Ia permulaan kepada 11 kemenangan berturut-turut yang menyaksikan Liverpool hampir memenangi kejuaraan.

Kemerosotan yang menyusul selepas itu diikuti permulaan buruk pada kempen semasa dengan kekalahan 0-3 di tangan Manchester United hujung minggu lalu menyaksikan mereka ketinggalan 18 mata berbanding pendahulu Chelsea dan di tangga ke-11.

Namun selepas menang 3-1 ke atas pendahulu Liga Kejuaraan, Bournemouth pada suku akhir Piala Liga pada pertengahan minggu ini, pengurus Brendan Rodgers berharap pasukannya mampu mengubah nasib mereka.

“Perlahan-lahan kami mula mendapat rentak. Saya boleh katakan Liverpool kini semakin meningkat,” jelas Rodgers selepas kejayaan Liverpool di Dean Court.

“Ramai pemain menyesuaikan diri. Saya mencari cara dan jalan penyelesaian supaya kami lebih kreatif, sesuatu yang tidak berlaku sepanjang musim ini.”

Arsenal tumpas 2-3 di tangan Stoke City pada perlawanan domestik terakhir di gelanggang lawan namun sejak itu mencatat kemenangan berturut-turut 4-1 ke atas Galatasaray pada Liga Juara-Juara dan Newcastle dalam liga.

Wenger mendedahkan pemain sayap Theo Walcott yang beraksi hanya dua perlawanan musim ini kerana kecederaan lutut, mungkin akan diturunkan tidak lama lagi.

“Dia kembali berlatih hari ini (kelmarin),” ujar Wenger. “Saya mungkin membawanya. Saya belum tahu hingga dia kembali berlatih sepenuhnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:08 AM