Sunderland, England: Arsene Wenger memuji Alexis Sanchez (gambar kiri) yang menyumbang dua gol selepas Arsenal mengelak permulaan terburuk musim di bawah kendalian pengurus Perancis itu dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Sunderland.

Sanchez, pemain kebangsaan Chile yang dibeli dengan harga £30 juta (RM158 juta) dari Barcelona awal musim ini, mengumpul lapan gol dalam 15 penampilan bersama Gunners.

Kejayaan itu menyaksikan Arsenal meraih kemenangan kedua dalam lapan perlawanan terakhir liga dan mereka kini mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam tempoh tiga hari selepas menang 2-1 ke atas Anderlecht dalam aksi Liga Juara-Juara.

Jika gagal meraih kemenangan keempat berturut-turut di Stadium of Light, ia pasti menyaksikan Arsenal meraih mata terendah selepas sembilan perlawanan awal musim dalam tempoh 18 tahun Wenger menguruskan kelab itu.

Namun mereka mungkin bernasib baik meraih kemenangan terbaru berikutan kelemahan pertahanan Sunderland yang dibelasah 8-0 oleh Southampton minggu lalu, dengan Sanchez menyumbat kedua-dua gol berikutan kesilapan bek tengah veteran Wes Brown dan bekas penjaga gol Arsenal, Vito Mannone.

"Alexis Sanchez mengambil peluang kesilapan dilakukan Sunderland," ujar Wenger.

"Dia mempunyai kualiti hebat, amat pantas. Itulah sebabnya dia berjaya memenangi perebutan bola yang tidak dimiliki pemain normal," jelas Wenger.

"Gerakannya dari serangan ke bertahan amat pantas. Dia pantas memenangi semula bola dan boleh menggunakan kelebihan itu."

Tempat Mannone tergugat selepas dipersalahkan berikutan kekalahan rekod Sunderland di tangan Southampton.

"Vito banyak belajar di Arsenal dan sudah tentu saya bersimpati. Dia seperti pemain lain, keyakinannya merudum sedikit kerana kekalahan minggu lalu," kata Wenger.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:01 AM