Amirul Haswendy Ashari


Ramai mempersoalkan apabila Suzy Bae dari kumpulan Miss A meluahkan hasrat mahu meneruskan perkahwinannya dengan Lee Min Ho kerana dia antara selebriti berjaya di usia muda.

Dia mengecapi pelbagai kejayaan di usia muda sebab mempunyai rupa yang cantik. Dia pernah membintangi pelbagai iklan komersial untuk produk jenama popular.

Tambah pula ada khabar angin mengatakan pasangan yang bercinta dua tahun lalu mengalami krisis dan membatalkan rancangan perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, pemerhati dunia hiburan yakin perkahwinan antara Min Ho dan Suzy tetap akan berlangsung.

Antara sebab utama dia didakwa mahu berkahwin kerana pembubaran Miss A. Biarpun tiada pengesahan rasmi daripada JYP Entertainment, Jia sudahpun meninggalkan kumpulan dan label itu untuk meneruskan kerjaya seni lebih baik di tanah air sendiri di China.

Sumber lain mendakwa Suzy tidak pernah rapat dengan ahli kumpulan lain sebab terlalu sibuk dengan jadual seni. Ada juga dakwaan ahli kumpulan menjauhkan diri sebab cemburu dengan populariti Suzy.

Alasan lain mendakwa Suzy mahu berkahwin sebab dia sudah melepasi masa kegemilangannya, lantas berkahwin adalah solusi terbaik.

Drama terbaru lakonan Suzy, Uncontrollably Fond baru saja tamat siaran dan selebriti itu meluangkan masa untuk berehat.

Suzy akui sejak tamat penggambaran Uncontrollably Fond, dia banyak melakukan perkara yang disukai sejak dulu.

Katanya, dia tiada hobi khusus, apabila berehat selalunya dia keluar memandu atau minum bersama kawan-kawan.

“Selalunya saya suka minum seorang diri. Kadangkala satu tin bir sebelum tidur,” katanya.

Suzy juga menafikan waktu rehatnya lebih banyak diluangkan bersama Lee Min Ho. Pasangan popular itu dipercayai sudah lama tidak kelihatan bersama dan ia dikatakan berpunca daripada kesibukan jadual seni masing-masing.

Lee Min Ho dikatakan dalam proses penggambaran drama terbaru, The Legend Of The Blue Sea.

Sebelum itu, laporan media lain mengatakan rancangan perkahwinan pasangan itu sudah bermula walaupun ada ura-ura mereka berpisah tetapi dinafikan wakil agensi mereka.

Dalam keadaan dilanda pelbagai khabar angin, pasangan itu masih menikmati hubungan yang baik dan semakin kuat. Sehingga ada laporan lain mendakwa Min Ho bersedia untuk melamar Suzy sebelum mengikuti perkhidmatan tentera.

Umum tahu, pelakon itu berusia 29 tahun dan dia wajib mengikuti latihan tentera pada bila-bila masa saja.

Paling awal dia akan melaporkan diri tahun depan kerana mempunyai baki projek lakonan. Antaranya sekuel filem Train To Busan.

Sekarang walaupun pelbagai spekulasi masih lagi timbul mengenai isu kahwin, gosip berpisah masih lagi berlegar-legar di sekeliling pasangan kekasih yang sudah dua tahun bercinta.

Sehinggakan sebelum berita pengesahan akan berkahwin muncul, ada berita lain pula mendakwa mereka juga sudah membatalkan perancangan untuk berkahwin.

Antara alasan dakwaan pembatalan ialah cemburu. Suzy dikatakan cemburu apabila teman lelakinya terlalu rapat dengan aktres Park Shin Hye dalam drama Heirs.

Gosip lain pula mendakwa sebab Suzy terlalu rapat dengan pasangannya dalam drama Uncontrollably Fond, Kim Woo Bin lantas Lee Min Ho mahu batalkan perkahwinan.

Apa sekalipun, tidak dinafikan Lee Min Ho memang menjadi kegilaan ramai terutama wanita, begitu juga Suzy yang diperakui antara selebriti Korea jelita masa ini.

Jika khabar angin yang bertebaran pada masa ini ternyata benar, pastinya banyak pihak kecewa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:04 AM